Tips Makan Di Luar Dengan Anak Kecil

makan di luar dengan anak kecil

Dengan kehadiran si kecil, mungkin ibu bapa merasakan tempat dan suasana yang paling selesa untuk makan bersama anak kecil adalah di rumah. Namun, ada kalanya, ibu bapa ada keinginan untuk makan di luar. Adakah perkara mustahil untuk makan di luar dengan anak kecil? Dengan sedikit persediaan dan tips berikut, ibu bapa masih boleh melakukannya.

Persediaan Makan di Luar dengan Anak Kecil

1. Utamakan dan Pilih Restoran Mesra Kanak-kanak

Perkara ini agak leceh, tetapi menjamin kesejahteraan dan keamanan hidup ibu bapa untuk makan di luar dengan anak kecil. Pertama, ibu bapa perlu untuk membuat sedikit kajian, cukuplah dengan carian di internet mengenai restoran-restoran yang mesra kanak-kanak. Boleh cari review atau blog-blog yang berkongsikan pengalaman masing-masing. Sebagai contoh, ayah ini ada melakukan review terhadap salah satu restoran mesra kanak-kanak bernama Weaning Tots.

Antara perkara yang menarik untuk ada adalah kerusi kanak-kanak, kawasan permainan anak, makanan yang bersesuaian untuk anak kecil serta tidak dilupakan, menu orang dewasa yang enak. 

Jika perlu, telefon dahulu restoran bagi memastikan kesemua fasiliti yang dingini ada dan berfungsi dengan baik dan jika boleh, untuk melakukan reservation termasuklah kerusi kanak-kanak.

2. Pilih Waktu Makan di Luar yang Bersesuaian Dengan Jadual Anak Kecil

Sebagai ibu bapa, kita seharusnya sudah tahu jadual aktiviti seharian anak kecil kita. Ini termasuklah waktu tidur, waktu buang air, waktu makan dan sebagainya. Elakkan untuk makan di luar pada waktu-waktu genting seperti waktu tidur kerana ada kemungkinan mood anak akan menjadi tidak baik, tantrum dan akan merosakkan mood ibu dan bapa.

Asalnya ingin makan di luar untuk bersantai-santai keluarga, akhirnya menjadi medan peperangan antara ibu bapa dan anak kecil pula.

3. Bawa Buku atau Permainan Kegemaran Anak

Jika kita makan di restoran jenis bukan fast food, bersedialah untuk mengisi masa anak-anak sekitar 10-20 minit sebelum makanan dihidangkan. Anak-anak kecil biasanya tidak boleh bertahan 10 minit tanpa berbuat apa-apa, jadi, bagi mengelakkan mereka tantrum, cuba untuk lekakan mereka dengan permainan dan buku kegemaran mereka.

Ramai ibu bapa yang mengambil jalan mudah memasangkan video atau permainan di tablet dan membiarkan anak leka dengan gajet tersebut. Kami tidak menggalakkan ini menjadi kebiasaan kerana kami percaya, aktiviti fizikal anak yang disertai penglibatan ibu bapa adalah penting untuk tumbesaran kognitif dan sosial kanak-kanak.

4. Bersedia Untuk Berjalan-jalan Dengan Anak

Disebabkan anak-anak kecil ini memang susah untuk duduk di satu-satu tempat bagi satu tempoh yang panjang, ibu bapa perlu bersedia untuk membawa mereka berjalan-jalan di sekitar restoran tetapi pastikan anak-anak ini tidak mengganggu pelanggan lain atau tidak masuk ke tempat berbahaya.

5. Kongsi Makanan Anda

Kebanyakan restoran ada menawarkan menu untuk kanak-kanak. Namun, biasanya, menu ini bersaiz kecil dengan harga tidak banyak beza dengan menu dewasa. Kanak-kanak kecil juga biasanya akan hilang fokus di pertengahan sesi makan dan mungkin sahaja tidak menghabiskan makanan mereka.

Jadi, untuk berjimat, ibu bapa bolehlah meminta pinggan kosong dan membahagikan sedikit bahagian makanan ibu atau bapa, jika makanan itu sesuai dimakan anak-anak.

makan di luar dengan anak kecil

Kesimpulan

Walaupun ibu dan bapa merasakan letih dan mencabarh untuk membawa anak kecil makan di luar, namun, hargailah saat-saat berharga ini. Layanlah anak-anak anda sebaiknya kerana momen-momen sebegini mungkin tidak dapat berulang lagi. 

Take it easy. Jika rancangan anda tidak sepenuhnya dapat dilaksanakan seperti asalnya kerana anak-anak kecil, bertenanglah dan nikmati saat-saat meletihkan ini sebelum ianya berakhir.

Hamizah Hanapi
Hamizah Hanapi merupakan seorang graduan sains matematik dari Universiti of Surrey, United Kingdom. Beliau merupakan seorang ibu kepada 3 anak dan suka berkongsi tips keibu bapaan berdasarkan pengalaman beliau. Beliau banyak berkongsikan perjalanan kehidupan beliau di https://www.cozylady.com.my/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *