Tips Anak Minat Membaca

tips anak minat membaca

Apabila anak semakin membesar, timbullah satu persoalan oleh ibu bapa. Bilakah perlu anak-anak diajar membaca? Sebenarnya, sebelum anak diajar membaca, mereka perlulah dipupuk supaya minat membaca. Di sini kami akan kongsikan beberapa tips anak minat membaca untuk dicuba dengan anak masing-masing.

Tips Anak Minat Membaca

Sebagai peringatan, tips-tips ini adalah hanya perkongsian secara umum dan mungkin kurang sesuai untuk sesetengah kanak-kanak. Langkah pertama ibu bapa adalah dengan mengenal pasti kelemahan dan kelebihan anak-anak sendiri dan tidak terlalu memaksa anak-anak terhadap satu-satu cara. Setiap anak adalah istimewa dan unik!

Namun, berikut merupakan beberapa tips anak minat membaca yang boleh dicuba:-

1. Tunjukkan Contoh Yang Baik

Anak-anak belajar daripada pemerhatian mereka. Sebagai ibu atau bapa, sudah pasti perlakuan kita mempunyai impak yang besar terhadap pembentukan nilai dan sikap anak-anak. Jika kita inginkan anak-anak minat membaca, langkah pertama adalah ibu bapa juga perlulah minat membaca dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.

Ini bolehlah dilakukan seawal anak berumur 2-3 bulan. Walaupun pada ketika ini mereka tidak memahami apa yang ibu bapa lakukan, namun, jika ibu bapa konsisten dengan sikap mencintai buku sejak mereka kecil, anak-anak akan ingin menjadi seperti ibu bapa mereka. Ini adalah langkah pertama yang penting jika ibu bapa inginkan anak minat membaca, dan langkah ini sukar untuk dibuat-buat.

2. Sediakan Bahan Bacaan Yang Sesuai

Pepatah Melayu menyebut “Tak kenal maka tak cinta”, jadi, mana mungkin anak-anak boleh meminati membaca andai di rumah tiada bahan bacaan yang sesuai untuk mereka. Sebagai ibu bapa, sediakan ruang dan bahan bacaan yang sesuai dengan umur anak anda. Pastikan juga bahan bacaan sentiasa dikemaskini supaya anak tidak bosan.

Sesetengah ibu bapa risau anak-anak akan merosakkan buku. Insiden buku terkoyak, buku dikunyah, buku diconteng adalah perkara biasa. Elakkan memarahi anak dengan keras jika ini berlaku, takut-takut anak ‘associate’ buku dengan perkara yang tidak disukai ibu bapa. Sebaliknya, cuba untuk tunjukkan cara sebenar berinteraksi dengan buku.

Pemilihan buku yang sesuai dengan umur anak juga penting. Sebagai contoh, bagi anak yang berumur bawah 2 tahun, utamakan buku-buku yang diperbuat daripada kain atau bahan kalis koyak dan kalis air. Anak-anak umur seawal ini biasanya akan sedikit kasar dengan buku kerana mereka masih dalam fasa perkenalan.

3. Bawa Anak ke Perpustakaan atau Kedai Buku

Rajinkan membawa anak-anak ke perpustakaan atau kedai-kedai buku. Di sini, anak-anak akan diperlihatkan dengan suasana dikelilingi buku. Anak-anak juga dapat memerhatikan bagaimana kanak-kanak lain (atau orang dewasa) berinteraksi dengan buku dengan cara yang betul. Benar, anak-anak yang kecil mungkin akan mudah hilang fokus dan sekadar berlari dan bermain. Tidak mengapa, sedikit demi sedikit, jika mereka telah dibiasakan dengan suasana perpustakaan, mereka akan mula belajar dan asimilasi dalam nilai mereka.

Bawa juga anak-anak ke kedai bukun beri mereka autoriti untuk memilih bahan bacaan mereka. Anak-anak suka apabila mereka diberikan tanggungjawab. Namun, ibu bapa perlu juga menapis pemilihan bahan bacaan anak-anak agar tidak terdedah kepada perkara yang tidak sepatutnya pada umur yang tidak sesuai.

4. Jadikan Masa Membaca Sebagai Masa Keluarga

Ibu bapa jangan pula hanya membelikan buku-buku untuk anak-anak lalu berharap agar anak-anak boleh membaca sendiri. Sebaliknya, ibu bapa perlu bersama-sama membaca dengan anak-anak dan berkomunikasi dengan anak-anak mengenai apa yang dibaca.

Jadikan sesi membaca buku sebagai aktiviti keluarga yang menyeronokkan supaya anak-anak akan seronok dan ternanti-nanti sesi seterusnya. Anak-anak akan ‘associate’ membaca dengan fokus daripada ibu bapa.

Kesimpulan

Tiada jalan mudah atau silap mata dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak. Kesemuanya perlukan perancangan, perbelanjaan kewangan serta usaha dan pengorbanan para ibu bapa. Namun, percayalah, segala penat lelah ini akan berbaloi juga satu hari nanti.

Selamat mencuba!

Hamizah Hanapi
Hamizah Hanapi merupakan seorang graduan sains matematik dari Universiti of Surrey, United Kingdom. Beliau merupakan seorang ibu kepada 3 anak dan suka berkongsi tips keibu bapaan berdasarkan pengalaman beliau. Beliau banyak berkongsikan perjalanan kehidupan beliau di https://www.cozylady.com.my/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *