Tanda Anak Growth Spurt

Kadang-kadang, dalam membesarkan anak-anak kecil ni, mungkin kita ada terperasan yang ada satu fasa yang anak kita ni sangat banyak makan. Ibarat perutnya ada portal ke dimensi lain. Ini adalah salah satu tanda anak growth spurt, atau fasa tumbesaran fizikal anak tersebut.

Memahami Proses Tumbesaran Anak-Anak

Bayi membesar dengan sangat pantas pada tahun pertama selepas kelahirannya. Ini kemudiannya akan berkurang pada umur anak sekitar 2 tahun dan kemudiannya akan meningkat semula sewaktu anak akil baligh sewaktu zaman remajanya.

Dalam proses tumbesaran ini, bayi akan mengalami pertambahan berat badan dan panjang badan yang sangat ketara. Namun, pakar kanak-kanak masih belum mampu menjangkakan secara tepat bilakah growth spurt ini akan berlaku, tambahan pula, fasa ini berlainan dalam kalangan kanak-kanak yang berbeza.

Menurut Puan Leigh O’Connor, seorang International Board Certified Lactation Consultant yang berpengalaman dari Amerika Syarikat, beliau biasanya melihat growth spurt pada anak kecil sekitar umur 3 minggu, 6 minggu, 3 bulan dan 6 bulan.

Berikut merupakan antara tanda anak growth spurt yang patut ibu bapa tahu dan kenalpasti.

Tanda Anak Growth Spurt Yang Perlu Ibu Bapa Tahu

1. Anak Sentiasa Lapar

Pasti kita pernah melalui fasa menenangkan di mana kita telah memahami jadual pemakanan anak kita. Namun, tiba-tiba, segalanya berubah. Anak kita masih lapar. Lepas makan dengan banyak, mahukan susu pula. Tak berapa lama kemudian, mahu makan lagi. Apa yang sedang berlaku?

Sepertimana dinyatakan di atas, growth spurt adalah fasa tumbesaran fizikal anak yang lebih pantas daripada waktu biasa. Penambahan berat badan dan panjang badan secara ketara ini sudah tentu memerlukan sumber nutrisi yang banyak yang perlu didapati daripada makanan. Kadar metabolisme anak menjadi sangat tinggi kerana semua nutrisinya ditukar kepada kalori untuk tumbesaran badan mereka.

Atas sebab inilah anak kelihatan sentiasa lapar, ianya adalah tanda penting yang badan anak kita sedang memberikan isyarat sedang berlakunya growth spurt pada anak.

tanda anak growth spurt

2. Corak Tidur Berubah

Berkenaan tidur ketika fasa growth spurt ini masih menjadi misteri para pakar perubatan. Namun, yang pasti, anda akan nampak perubahan corak tidur anak anda. Yang menjadi misteri, ada ibu bapa yang melaporkan anak semakin banyak tidur dalam fasa growth spurt dan dalam masa yang sama, ada juga ibu bapa melaporkan anak mereka semakin kurang tidur sewaktu fasa ini.

3. Anak Lebih Meragam Daripada Biasa

Sebenarnya, tanda anak growth spurt ini adalah berkemungkinan hasil daripada dua tanda di atas. Anak yang sentiasa lapar dan mengantuk lebih berkemungkinan untuk meragam dan merengek. Malah, ada juga pakar perubatan yang berpandangan bahawa tumbesaran pesat sewaktu growth spurt mungkin mengakibatkan otot dan tulang anak sedang membesar dan mengakibatkan rasa sakit dan tidak selesa pada anak, mengakibatkan mereka merengek.

4. Anak Mempelajari ‘Skill’ Baru

Orang-orang tua selalu berkata, kalau anak meragam tiba-tiba tu tanda anak nak belajar benda baru. Mungkin kata-kata orang tua ini ada asasnya.

Dalam fasa growth spurt, bukan sekadar badan yang membesar, otak anak turut mengalami perkembangan pesat. Mungkin anak itu mula belajar untuk memegang mainan yang sebelum ini sukar dipegang, mungkin anak belajar untuk berjalan atau mula ingin bercakap perkataan pertamanya.

Kesimpulan

Semua anak pasti akan melalui fasa growth spurt beberapa kali dalam fasa tumbesarannya. Ibu bapa perlu tenang dalam mengenalpasti tanda anak growth spurt kerana ianya adalah fasa biasa tetapi penting untuk anak. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi saksi proses ini kerana ianya hanya berlaku beberapa kali sahaja ketika anak masih kecil dan tidak akan berulang kembali.

Hamizah Hanapi
Hamizah Hanapi merupakan seorang graduan sains matematik dari Universiti of Surrey, United Kingdom. Beliau merupakan seorang ibu kepada 3 anak dan suka berkongsi tips keibu bapaan berdasarkan pengalaman beliau. Beliau banyak berkongsikan perjalanan kehidupan beliau di https://www.cozylady.com.my/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *