Tips Anak Minat Membaca

tips anak minat membaca

Apabila anak semakin membesar, timbullah satu persoalan oleh ibu bapa. Bilakah perlu anak-anak diajar membaca? Sebenarnya, sebelum anak diajar membaca, mereka perlulah dipupuk supaya minat membaca. Di sini kami akan kongsikan beberapa tips anak minat membaca untuk dicuba dengan anak masing-masing.

Tips Anak Minat Membaca

Sebagai peringatan, tips-tips ini adalah hanya perkongsian secara umum dan mungkin kurang sesuai untuk sesetengah kanak-kanak. Langkah pertama ibu bapa adalah dengan mengenal pasti kelemahan dan kelebihan anak-anak sendiri dan tidak terlalu memaksa anak-anak terhadap satu-satu cara. Setiap anak adalah istimewa dan unik!

Namun, berikut merupakan beberapa tips anak minat membaca yang boleh dicuba:-

1. Tunjukkan Contoh Yang Baik

Anak-anak belajar daripada pemerhatian mereka. Sebagai ibu atau bapa, sudah pasti perlakuan kita mempunyai impak yang besar terhadap pembentukan nilai dan sikap anak-anak. Jika kita inginkan anak-anak minat membaca, langkah pertama adalah ibu bapa juga perlulah minat membaca dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.

Ini bolehlah dilakukan seawal anak berumur 2-3 bulan. Walaupun pada ketika ini mereka tidak memahami apa yang ibu bapa lakukan, namun, jika ibu bapa konsisten dengan sikap mencintai buku sejak mereka kecil, anak-anak akan ingin menjadi seperti ibu bapa mereka. Ini adalah langkah pertama yang penting jika ibu bapa inginkan anak minat membaca, dan langkah ini sukar untuk dibuat-buat.

2. Sediakan Bahan Bacaan Yang Sesuai

Pepatah Melayu menyebut “Tak kenal maka tak cinta”, jadi, mana mungkin anak-anak boleh meminati membaca andai di rumah tiada bahan bacaan yang sesuai untuk mereka. Sebagai ibu bapa, sediakan ruang dan bahan bacaan yang sesuai dengan umur anak anda. Pastikan juga bahan bacaan sentiasa dikemaskini supaya anak tidak bosan.

Sesetengah ibu bapa risau anak-anak akan merosakkan buku. Insiden buku terkoyak, buku dikunyah, buku diconteng adalah perkara biasa. Elakkan memarahi anak dengan keras jika ini berlaku, takut-takut anak ‘associate’ buku dengan perkara yang tidak disukai ibu bapa. Sebaliknya, cuba untuk tunjukkan cara sebenar berinteraksi dengan buku.

Pemilihan buku yang sesuai dengan umur anak juga penting. Sebagai contoh, bagi anak yang berumur bawah 2 tahun, utamakan buku-buku yang diperbuat daripada kain atau bahan kalis koyak dan kalis air. Anak-anak umur seawal ini biasanya akan sedikit kasar dengan buku kerana mereka masih dalam fasa perkenalan.

3. Bawa Anak ke Perpustakaan atau Kedai Buku

Rajinkan membawa anak-anak ke perpustakaan atau kedai-kedai buku. Di sini, anak-anak akan diperlihatkan dengan suasana dikelilingi buku. Anak-anak juga dapat memerhatikan bagaimana kanak-kanak lain (atau orang dewasa) berinteraksi dengan buku dengan cara yang betul. Benar, anak-anak yang kecil mungkin akan mudah hilang fokus dan sekadar berlari dan bermain. Tidak mengapa, sedikit demi sedikit, jika mereka telah dibiasakan dengan suasana perpustakaan, mereka akan mula belajar dan asimilasi dalam nilai mereka.

Bawa juga anak-anak ke kedai bukun beri mereka autoriti untuk memilih bahan bacaan mereka. Anak-anak suka apabila mereka diberikan tanggungjawab. Namun, ibu bapa perlu juga menapis pemilihan bahan bacaan anak-anak agar tidak terdedah kepada perkara yang tidak sepatutnya pada umur yang tidak sesuai.

4. Jadikan Masa Membaca Sebagai Masa Keluarga

Ibu bapa jangan pula hanya membelikan buku-buku untuk anak-anak lalu berharap agar anak-anak boleh membaca sendiri. Sebaliknya, ibu bapa perlu bersama-sama membaca dengan anak-anak dan berkomunikasi dengan anak-anak mengenai apa yang dibaca.

Jadikan sesi membaca buku sebagai aktiviti keluarga yang menyeronokkan supaya anak-anak akan seronok dan ternanti-nanti sesi seterusnya. Anak-anak akan ‘associate’ membaca dengan fokus daripada ibu bapa.

Kesimpulan

Tiada jalan mudah atau silap mata dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak. Kesemuanya perlukan perancangan, perbelanjaan kewangan serta usaha dan pengorbanan para ibu bapa. Namun, percayalah, segala penat lelah ini akan berbaloi juga satu hari nanti.

Selamat mencuba!

Makanan Ibu Mengandung Yang Wajib Diambil

makanan ibu mengandung

Disahkan hamil merupakan suatu berita kegembiraan yang dinantikan kebanyakan pasangan berkahwin. Namun, keadaan ini mungkin mencemaskan bagi yang pertama kali bakal menerima cahaya mata. Antara persoalan utama wanita yang bakal menerima cahaya mata adalah apakah makanan ibu mengandung yang sepatutnya ada bagi memastikan anak dan ibu sentiasa sihat dan cukup nutrisi?

Makanan Ibu Mengandung yang Wajib Diambil

1. Susu dan Produk Tenusu

Ini sudah menjadi makanan ibu mengandung yang pertama sekali dalam senarai ramai orang. Hampir semua orang mengetahui bahawa bayi dalam kandungan memerlukan banyak protein untuk membentuk tisu-tisu dan organ badan dengan sempurna dan kalsium bagi membantu membentuk tulang dalam badan si kecil ini.

Susu dan produk tenusu seperti keju merupakan satu makanan yang berupaya memberikan jumlah kalsium dan protein yang diperlukan ini.

Ibu-ibu juga digalakkan untuk memakan yoghurt (terutamanya Greek Yoghurt yang lebih kaya dengan protein) bagi menambah variasi produk tenusu agar ibu (dan anak dalam kandungan) tidak bosan.

2. Bijirin dan Kekacang

Bijirin dan kekacang seperti oat, barli dan gandum merupakan makanan bijirin yang kaya dengan zat besi serta asid folik. Dalam fasa kandungan sedang pesat membesar, asid folik adalah sangat penting bagi memastikan tiub neural bayi terbentuk dengan sempurna.

Bagi citarasa rakyat Malaysia, makanan bijirin tradisi seperti tempe, taucu serta kekacang seperti kacang buncis, kacang panjang dan kacang tanah mudah untuk didapati di pasar-pasar seluruh Malaysia.

Bagi makanan berasaskan bijirin seperti roti, nasi dan pasta, ianya juga baik untuk diambil secara sederhana, dan jika boleh, utamakan makanan bijian penuh (whole grain).

3. Daging dan Ayam

Daging dan ayam sudah tentu perlu sebagai makanan ibu mengandung. Kandungan protein yang tinggi diperlukan bagi tumbesaran sempurna bayi dalam kandungan. Selain itu, daging merah juga mempunyai kandungan zat besi yang tinggi. Zat besi diperlukan bagi membina sel-sel darah merah bagi si kecil dalam perut itu.

Kekurangan zat besi, terutamanya dalam fasa awal kehamilan berpotensi menyebabkan anak menghidap ‘iron-deficiency anemia‘ yang seterusnya berpotensi mengakibatkan kelahiran pra-matang atau anak lahir kurang berat.

Bagi ibu-ibu yang mempunyai pilihan, utamakanlah pemakanan daging tanpa lemak bagi kesihatan yang lebih optimum.

4. Ikan

Mungkin kita selalu dengar bahawa diet ibu mengandung ni perlu ada ikan salmon kerana kandungan Omega-3 yang tinggi.

Tetapi tahukah kita, ikan tempatan juga tidak kurang kaya dengan Omega-3 juga. Ikan salmon bukanlah ikan tempatan dan agak sukar didapati. Jika adapun, harganya boleh tahan sangat tinggi. Oleh itu, sebagai langkah alternatif, cukup dengan memakan ikan-ikan tempatan seperti ikan cencaru, kembung, selar, kerisi dan sebagainya. Walaupun kandungan Omega-3 tidaklah setinggi ikan salmon, namun mencukupi bagi kehamilan yang sihat.

Apakah kebaikan dan kepentingan Omega-3 kepada kandungan? Kajian mendapati Omega-3 membantu bayi membesar dengan lebih pesat dalam kandungan, oleh itu, mengurangkan risiko bayi kurang berat.

5. Buah-buahan dan Sayur-Sayuran

Buah-buahan dan sayur-sayuran memang baik untuk sesiapa sahaja, termasuklah ibu mengandung. Di dalam buah terdapat vitamin dan mineral yang sangat baik serba serbi untuk ibu dan anak dalam kandungan. Tips mudah diet buah adalah pelbagaikan variasi warna buah dan sayuran yang diambil kerana warna buah melambangkan apa vitamin dan mineral yang terbanyak dalam buah tersebut.

Buah-buahan dan sayur-sayuran juga kaya membekalkan serat dalam diet para ibu bagi membantu melancarkan proses penghadaman, terutamanya dalam fasa perut membesar dan bayi menekan salur pencernaan ibu.

Kesimpulan

Kadang-kadang, apabila kita membaca portal kesihatan antarabangsa, terlalu banyak pilihan makanan cadangan yang lebih kepada diet orang Barat, sebab itu banyaknya cadangan buah blueberry, raspberry, ikan salmon, tuna, kod, bijirin oat dan barli sedangkan di Malaysia, makanan tempatan juga boleh untuk memberikan nutrisi yang seimbang kepada ibu mengandung, malah, dengan harga yang lebih murah!

Sentiasa berbincang dengan pakar sakit puan anda mengenai makanan apa yang perlu diambil atau jika anda memerlukan makanan tambahan.

Selamat menempuh tempoh kehamilan dan selamat menerima cahaya mata!