Mencegah SIDS Pada Kanak-Kanak

mencegah sids

Banyak terjadi keadaan di mana anak kecil tiba-tiba dijumpai maut tanpa sebarang sebab yang jelas. Ini lebih kerap berlaku pada bayi berumur bawah 1 tahun. Situasi kematian mengejut ini dinamakan Sudden Infant Death Syndrome (“SIDS”). Sebagai ibu bapa kepada anak kecil, seharusnya kita mengetahui beberapa teknik bagi membantu mencegah SIDS pada kanak-kanak.

Punca Berlakunya SIDS

Menurut MayoClinic, pakar kanak-kanak masih belum dapat memahami sepenuhnya punca sebenar yang mengakibatkan SIDS. Namun, kajian menunjukkan kemungkinan SIDS berpunca daripada kegagalan fungsi bahagian dalam otak yang mengawal pernafasan kanak-kanak tersebut.

Namun, pakar perubatan telah mengenalpasti beberapa faktor yang mendorong berlakunya SIDS.

1. Faktor Fizikal Bayi

Sesetengah bayi lahir dengan beberapa kegagalan fungsi otak. SIDS boleh berlaku apabila bahagian fungsi otak yang mengawal pernafasan tidak boleh berfungsi dengan baik dan seterusnya mengakibatkan bayi gagal bernafas dengan betul dan boleh menemui ajal ketika tidur.

Bayi yang dilahirkan pra-matang atau kurang berat badan juga lebih berpotensi menghadapi SIDS menurut satu lagi kajian. (Baca Lanjut: NCBI)

2. Faktor Persekitaran 

Bayi yang tidur mengiring atau meniarap lebih berpotensi berhadapan dengan SIDS. Apabila bayi dalam kedudukan mengiring atau meniarap, bayi lebih berisiko mengalami kesukaran bernafas. Lebih memburukkan keadaan apabila bayi ditidurkan meniarap di atas permukaan yang tersangat lembut sehingga muka bayi boleh tersembam dan tenggelah dalam permukaan katil atau tilam tersebut.

Faktor lain yang boleh meningkatkan risiko kematian SIDS juga adalah sikap ibu bapa yang suka tidur memeluk anak kecil. Dikhuatiri ketika tidur, kita tidak boleh mengawal badan kita yang seterusnya dikhuatiri akan menutupi salur pernafasan bayi.

Teknik Mencegah SIDS

Pakar perubatan telah menggariskan beberapa tatacara yang boleh diamalkan ibu bapa bagi mengurangkan risiko terjadinya SIDS.

1. Mengembalikan Tatacara Tidur Yang Tepat

Bayi perlulah ditidurkan secara menelentang (muka dan mulut ke atas) dan ditidurkan atas tilam nipis yang tidak terlalu lembut. Bayi juga dicadangkan untuk tidur berseorangan di katil yang berasingan dengan ibu bapa. Pastikan pengasuh atau orang gaji yang membantu anda turut melakukan perkara yang sama.

Cabaran utama di Malaysia ini adalah masih ramai yang berpegang dengan kepercayaan turun temurun bahawa tidur meniarap itu adalah baik untuk bayi tidur lena, sedangkan ini berpotensi meningkatkan risiko SIDS pada bayi. Anda sebagai ibu bapa perlu tegas dan memastikan cara tidur anak-anak yang betul dilaksanakan.

2. Minimakan barangan atau perkakasan di katil bayi

Bayi sebenarnya tidak memerlukan banyak bantal seperti bantal peluk, bantal kaki dan sebagainya. Malah, memenuhi katil bayi dengan banyak bantal dan kusyen ini lebih membahayakan anak kerana pergerakan bantal ini boleh menutupi muka dan salur pernafasan anak kecil ketika tidur. Anak kecil tidak mampu memberikan reaksi bahaya lagi jika mereka dalam kecemasan.

3. Menyusukan Badan Bayi Anda

Kajian mendapati ibu yang menyusukan anaknya dengan susu badan (secara terus) berpotensi mengurangkan risiko SIDS pada bayi. Walaupun masih belum dapat diterangkan lagi mengapa secara saintifik, namun, pemerhatian mendapati pemberian susu ibu mengurangkan kadar kematian SIDS. (Baca: USAToday)

4. Gunakan Puting (Pacifier)

Saintis juga mencadangkan penggunaan puting (pacifier) untuk bayi hisap ketika tidur boleh mengurangkan risiko kematian disebabkan SIDS. Pergerakan mulut bayi yang menghisap ini dikatakan membolehkan ruang udara bayi sentiasa terbuka walaupun ketika tidur.

Kesimpulan

SIDS adalah satu kematian kanak-kanak yang boleh dielakkan. Ketahui cara mencegah SIDS supaya orang-orang yang kita sayangi dapat dilindungi.

Muhammad Huzaifah
Muhammad Huzaifah merupakan seorang graduan Bioteknologi dengan pengkhususan Kejuruteraan Protein daripada Imperial College London, United Kingdom. Beliau kini bekerja di Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *