Melatih Anak Potty Training

melatih anak potty training

Apabila anak mencecah umur 2 tahun (ketika mereka sudah boleh memahami arahan mudah serta boleh berdialog ringkas yang difahami ibu bapa, tibalah masa mendebarkan ibu bapa, masa melatih anak potty training. Ada kalanya waktu ini begitu meletihkan ibu bapa, namun, ianya perlu dilalui bagi membentuk anak yang berdikari.

Berikut kami ringkaskan beberapa tips persediaan melatih anak potty training.

Fasa Persediaan Melatih Anak Potty Training (Umur Anak 2 Tahun ke Atas)

1. Modelling: tunjukkan kepada anak bila kita sendiri rasa nak ke tandas, beritahu anak yang ibu atau ayah ingin ke tandas untuk membuang air kecil atau besar. Tunjukkan ekspresi apabila kita rasa nak membuang air (ekspresi tidak tahan, sakit perut dan lain-lain yang sesuai)

2. Penceritaan: gunakan buku cerita tentang potty training. Ibu bapa juga boleh tunjukkan video-video karakter animasi atau bayi lain yang sedang potty training di Youtube.

3. Encouragement: Sentiasa komunikasi kepada anak bahawa mereka sudah cukup besar dan budak  besar dah tak pakai lampin. Sambil itu, ibu bapa perlulah mengajak anak untuk menggunakan potty.

4. Belikan seluar dalam yang menarik minat anak. Contohnya, jika anak minat kartun Upin dan Ipin, bolehlah carikan seluar dalam dengan kartun Upin Ipin bagi membuatkan anak gembira memakai seluar dalam.

5. Sebelum benar-benar melakukan potty training, ibu bapa perlulah mempunyai cukup data melalui pemerhatian tentang kekerapan serta waktu anak membuang air kecil dan besar.

Fasa Latihan

1. Perkara paling utama yang ibu bapa perlu ingat, aktiviti potty training ini mesti konsisten! Jika ibu bapa dan anak sudah bersedia untuk melakukan potty training, patuhi jadual yang kita tetapkan supaya anak pun tidaklah keliru.

2. Tentukan hari untuk latihan menggunakan tandas ini, seelok-eloknya 3-5 hari berturut-turut. Di sini perlu ditekankan bahawa bilangan hari utk anak faham bergantung kepada tahap penerimaan, kefahaman bahasa dan kemahiran anak. Fahami dulu tahap dan sikap anak anda.

3. Melalui permerhatian kekerapan dan masa anak, tentukan masa untuk anak ke tandas. Ada kanak -kanak yang mengambil masa selang 15 min, ada selang 30 minit, ada selang 1 jam. Jadual badan anak ini perlu ibu bapa ambil tahu dan fahami bagi membantu ibu bapa merancang jadual yang terbaik.

4) Apabila tiba masannya untuk ke tandas, berinteraksilah dengan anak. Beritahu anak bahawa kita nak ke tandas untuk membuang air. Sekarang dah tiba masanya untuk buang air kan? Lihat reaksi anak samada anak sudah memahami atau tidak.

5. Ulangi proses ini berulang-ulang kali. Ini termasuklah aktiviti masuk tandas, buka seluar, duduk di potty, membuang, basuh, flush, basuh tangan, pakai seluar. Ada kalanya anak-anak tidak membuang air pun tetapi teruskan konsisten melakukan perkara sebegini supaya anak tahu apa yang mereka perlu lakukan. Pastikan langkah-langkah ini diulang tanpa mengubah susunan perkara yang perlu dilakukan supaya anak-anak tidak keliru.

Fasa Pengukuhan

Walaupun anak faham, tetapi ada kalanya mereka tetap akan terbuang air kecil dalam seluar kerana beberapa faktor:-

1.  Belum betul-betul faham perasaan nak terbuang air. Di sini, perlu perbanyakkan lagi ekspresi ibu bapa melalui modelling supaya anak faham perasaan ingin buang air.

2. Ada anak yang terlalu suka bermain sehingga menahan daripada pergi ke tandas. Akhirnya, apabila tidak mampu ditahan lagi, itulah yang terlepas di dalam seluar. Untuk anak-anak sebegini, kita perlu ingatkan bahawa waktu ke tandas adalah lebih penting dan dia boleh bermain selepas ke tandas.

3. Kurangnya bantuan ibu bapa pada fasa awal potty training anak. Sebaiknya, pada fasa awal latihan, apabila kita nampak gaya badan anak macam nak membuang (contohnya kaki rapat macam menahan kencing atau cubaan meneran), terus bawa anak ke tandas.

4. Apabila anak-anak berjaya untuk melakukan potty training, puji mereka dan berikan galakan untuk terus lakukan perkara yang baik. Cuba untuk tidak terus memarahi jika mereka gagal sesekali, takut-takut mereka akan terus berputus asa kerana terlalu takut dimarahi.

Kesimpulan

Tidak dinafikan, melatih anak potty training adalah fasa yang meletihkan bukan sahaja ibu dan bapa, malah anak kecil itu sendiri. Kesabaran ibu bapa amat penting bagi memastikan potty training anak anda berjaya.

Iffah Rashidah
Puan Iffah Rashidah merupakan seorang 'Speech-Language Therapist' yang kini bertugas di Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Beliau merupakan graduan daripada Edinburgh University, United Kingdom.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *