Kanak-kanak dan Gajet

kanak-kanak dan gajet

Namakan apa sahaja jenis gajet yang memenuhi kehidupan. Ipad, mobile phone, tablet, laptop dan lain-lain. Kebergantungan kita terhadap gajet semakin menjadi-jadi. Sampaikan nak diamkan anak yang menangis sekali pun, ibu bapa terus menghulur gajet supaya mereka diam. Bahkan, ada ibu bapa yang memberikan searang satu anak masing-masing yang masih kecil sebuah gajet, dan digunakan tanpa kawalan. Apakah kesan jika dibiarkan kanak-kanak dan gajet?

Kanak-Kanak dan Gajet: Parah Jika Dibiarkan

Perkembangan awal kanak-kanak lebih tertumpu kepada penggunaan deria atau sensory mereka. Deria ini dirangsang dengan bercakap dengan orang, membuat bunyi, menyentuh dan melihat alam sekeliling, merasa dan menghidu. Mereka perlu bergerak.

Telah banyak kajian daripada pakar telah memberi amaran jika ibu bapa memberikan gajet kepada anak-anak tanpa kawalan, maka ia boleh memberi kesan jangka masa panjang yang negatif. Akan wujud masalah tingkah laku.

Jika fokus kanak-kanak hanya untuk gajet menyebabkan tiada interaksi luar yang berlaku. Kurangnya perkataan yang mereka tahu. Malu nak bercakap. Tiada keyakinan diri. Tak kenal sesama saudara.

Belum lagi merencatkan perkembangan motor halus. Perkembangan fizikal kanak-kanak tidak berlaku dengan normal. Pada waktu terbaik mereka untuk menguatkan otot, bermain di luar, tetapi kita ubah dengan berikan gajet yang hanya menggerakkan jari jemari.

Emosi mereka juga jadi tidak terkawal. Cuba ambil gajet dari tangan mereka. Atau tidak benarkan mereka menggunakan gajet untuk sementara waktu. Apa yang akan mereka buat? Boleh jadi, kanak-kanak akan memukul ibu bapa untuk melepaskan geram. Malah, lebih teruk, ini boleh membawa kepada masalah mental.

Sebab itu, saya sarangkan bahawa tiada interaksi antara kanak-kanak dan gajet bagi umur 2 tahun ke bawah. Langsung jangan beri.

Jika anak sudah berumur antara 2-6 tahun ke bawah, bolehlah diberi tetapi maksimum hanya 2 jam sahaja penggunaan.

Janganlah degil.

Takut Anak Ketinggalan Dengan Teknologi Semasa

Benar, kita tidak mahu anak kita ketinggalan. Sentiasa up to date dengan perkembangan teknologi terkini. Tapi biar berpada. Berpada bagaimana? Berikan ikut umur dan kesesuaian masa dan tempoh penggunaan.

Bukan semua umur kanak-kanak menjalani perkembangan dengan kadar yang sama. Adakalanya, mereka belum bersedia. Kalau kita langgar juga, kita melangkaui perkembangan yang sepatutnya berkembang terlebih dahulu.

Apa Solusinya?

1. Paling utama, ibu bapa tolong bercakap dengan anak-anak. Tidak bergerak depan skrin akan menjadikan anak-anak  tidak tahu bersosial.

2. Letak peraturan waktu penggunaan supaya kanak-kanak tidak sampai tahap ketagih, atau menjadi hamba gajet. Setiap kali sebelum memberikan gajet, ingatkan dan berjanji dengan anak bahawa dia hanya boleh bermain untuk satu jangka masa yang dibenarkan sahaja.

3. Jadilah role model. Jika kita tak bagi anak-anak guna gajet ketika makan, sebagai ibu bapa, kita pun seharusnya jangan guna juga. Kalau tak jadi sia-sia. Seperti nak suruh anak ketam jalan lurus, tapi mak dia pun jalan senget dan tak betul. Walk the talk.

4. Bermainlah dengan anak tanpa menggunakan gajet. Banyak lagi bahan konkrit dan berjisim di dunia nyata berbanding aplikasi di skrin gajet.

5. Games yang berasaskan pendidikan di dalam gajet tu boleh main, tetapi bersama-sama ibu bapa, dan ada limit masa yang dibenarkan. Bukannya beri kebebasan untuk anak bermain tanpa had.

Renungan

Jika ditenung komik di atas, bukankah ini ironi? Ibu bapa yang kononnya tahu tentang anak-anak, tetapi sebenarnya melakukan kesalahan dalam membesarkan anak.

Kita fikir kita dah jadi ibu bapa yang terbaik bila hantar anak-anak ke tadika/taska yang biarkan anak bermain. Tetapi di rumah, kita yang abaikan tanggungjawab dengan merosakkan perkembangan kanak-kanak.

Kita dah buat salah dengan anak pertama dulu. Tapi buat lagi salah dengan anak kedua, ketiga dan seterusnya.

Kita yang salah.

Hazhari Ismail
Hazhari Ismail mempunyai kelulusan Master dan Degree dalam Psikologi Kanak-kanak daripada Birmingham University dan Leeds University, United Kingdom. Beliau merupakan aktivis International Networking for Child Development and Protection (INCDP) untuk hak kanak-kanak. Selain itu, beliau merupakan penasihat kurikulum taska dan tadika di Kuala Lumpur dan Selangor. Beliau kini bertugas sebagai pensyarah di Pusrawi International University College, Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *