Apa Ibu Bapa Perlu Lakukan Jika Anak Dijangkiti HFMD?

jika anak dijangkiti hfmd

Dalam artikel yang lalu, kami pernah berkongsikan cara-cara mencegah anak daripada dijangkiti HFMD. Namun, malang tidak berbau, timbul persoalan, bagaimana pula jika anak dijangkiti HFMD dan disahkan oleh pegawai perubatan?

Mengenali Tanda-tanda Jangkitan HFMD

Virus HFMD sebenarnya virus yang tidak membawa maut. Kes-kes yang membawa kematian adalah kes terpencil apabila berlaku wabak yang besar. Itupun kematian bukan akibat dari virus itu secara langsung, tetapi ianya adalah komplikasi teruk jika mangsa tidak dirawat sebaik mungkin.

Terdapat dua virus yang punca kepada HFMD; Coxsackie Virus dan Enterovirus. Virus ini boleh berada dipersekitaran dan biasanya menjangkiti kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. Oleh kerana sistem pertahanan badan kanak-kanak masih tidak kuat, virus ini boleh menyebabkan tanda-tanda terhadap mangsa. Antara tanda-tanda serangan virus itu adalah seperti:

i) Demam
ii) Kurang selera makan
iii) Lepuh dalam rongga mulut (ulcer) dan sakit kerongkong.
iv) Letih dan tidak bermaya.
v) Ruam bintik merah di tapak tangan, kaki dan mulut.

Bintik merah akan nampak makin jelas setelah hari kedua selepas demam jika anak dijangkiti HFMD. Ketika ini lah ibubapa penjaga kanak-kanak mula panik dan mencapai pelbagai rawatan demi melihat anak mereka sembuh segera. Jika maklumat yang tidak tepat mereka perolehi dari dunia maya, maka akan berhabis ribuan ringgit membeli produk-produk sampah.

Apa Ibu Bapa Perlu Lakukan Jika Anak Dijangkiti HFMD?

1.  Jangan benarkan anak anda dipeluk cium sembarangan. Walaupun arahan ini agak zalim bagi saudara mara yang hadir menziarahi anda. Namun tempoh penting ini patut diambil serius supaya virus tidak merebak.

2. Didik diri dan keluarga supaya menjaga kebersihan persekitaran, rumah dan semua perkakas yang terdedah. Virus HFMD boleh sahaja bertenggek di mana-mana sahaja dalam persekitaran dalam tempoh tertentu. Dengan menjaga kebersihan diri, amalan membasuh tangan dengan sempurna dan menggunakan pelekap muka jika perlu terlalulah amat berguna pada masa ini.

Semburan dari produk tertentu tidak membantu, kerana permukaan yang kering dan bersih amat diperlukan bagi menghalang virus berjangkit. Penggunaan antiseptik boleh digunakan pada ketika memegang anak anda atau sebelum/selepas menyentuh perkakasan rumah.

3. Tahan diri anda dan anak-anak untuk bersiar-siar ke tempat yang ramai orang seperti pasar raya, pasar malam dan seumpamanya. Ditempat sebegini pelbagai jenis manusia wujud dengan pelbagai kuman hinggap bukan semata-mata virus HFMD. Jika terdesak sangat untuk membeli belah barang keperluan, serahkan kepada ketua keluarga untuk membeli. Tidak perlulah kesemua anak-anak kita yang masih kecil berasak-asak memenuhkan pasaraya. Virus HFMD senang merebak apabila orang yang dijangkiti atau pembawa virus itu batuk, bersin, bernafas depan muka dan bersentuhan dengan kita.

iv) Dapatkan rawatan segera untuk kurangkan demam anak anda. Pastikan alat pengukur suhu di simpan dalam rumah. Senantiasalah periksa sendiri suhu anak anda. Jika demam tinggi melebihi 38 C atau demam berlarutan melebihi lima hari, sila jumpa segera doktor anda.

Pastikan anak anda minum air secukupnya, makan mengikut jizi yang sepadan. Jika kelihatan tidak bermaya atau kelakuan/perangai anak lain macam, sila ke hospital segera. Senantiasalah bersama anak anda dalam tempoh tersebut, jangan asyik bermain wasap dan leka dengan facebook.

Dr Suhazeli Abdullah
Dr. Suhazeli Abdullah adalah seorang doktor perubatan keluarga yang menerima ijazah perubatan di USM dan Master Perubatan Keluarga di UKM. Beliau banyak menulis isu-isu perubatan di Facebook beliau fb.com/drsuhazeli dan laman web suhazeli.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *