Bahaya Pesta Buku Kepada Anak Kecil

Malaysia dikurniakan dengan pelbagai pesta buku. Ini sesuatu yang positif kerana menunjukkan terdapat ‘demand’ untuk buku daripada rakyat Malaysia sendiri, bermakna rakyat Malaysia sudah semakin cakna membaca. Namun, sebagai ibu bapa, tahukah kita terdapat bahaya pesta buku kepada anak-anak kecil?

Semua Ibu Bapa Mahukan Yang Terbaik Untuk Anak

“Puan, buku cerita ini terbaik untuk anak puan.”

“Bang, anak abang yang kecil itu perlukan mainan ini. Sesuai sangat dengan umur dia.”

“Kak, saya ada makanan minda. Jadi, anak akan bijak cepat.”

Ibu bapa mana tak sayang anak. Betul tak? Dibelinya buku latihan dan worksheet yang menimbun dengan harapan si kecil boleh tulis dengan cepat.

Diborongnya segala jenis flash cards supaya anak dapat mengenal huruf dan membaca dengan lancar seawal usia. 

Makan coklat atau pelbagai food supplements yang kononnya dapat merangsang otak kiri dan kanan.

Bila sebut benda-benda saintifik sikit, terus percaya.

Persepsi Masyarakat – Bahaya Pesta Buku

Inilah persepsi yang kita bina. Inilah budaya tidak sihat yang telah sebati dalam masyarakat.

“Mama, adik nak mainan itu.”

“Tak boleh. Mainan berlambak dekat rumah. Kita beli buku je. Kena belajar.”

Tipikal ibu bapa di Malaysia. Ada ibu bapa macam tu?

Kita tak pernah melihat kanak-kanak di dalam perspektif mereka. Kita melihat mereka dalam perspektif orang dewasa. Bertambah teruk, kita melihat diri kita yang dahulu yang serba kekurangan, dan kononnya kita tidak mahu anak kita merasa kekurangan tersebut.

Nak lagi teruk, kita melihat perkembangan anak kita dengan melihat perkembangan anak orang lain. Adil ke begitu?

Kita tak pernah melihat kanak-kanak di dalam perspektif mereka. Kita melihat mereka dalam perspektif orang dewasa. Bertambah teruk, kita melihat diri kita yang dahulu yang serba kekurangan, dan kononnya kita tidak mahu anak kita merasa kekurangan tersebut.

Betulkan Yang Biasa

Saya selalu ingatkan diri saya dan ibu bapa yang lain untuk kembali kepada perkembangan anak-anak yang sepatutnya. Kalau umur anak 1 tahun, cari milestone (tahap) perkembangan untuk anak 1 tahun. Bukan 5 tahun. Semak satu persatu setiap perkembangan yang merangkumi fizikal, emosi, kognitif dan sosial (ini yang asas).

Kalau kita jadi akauntan, kita belajar ilmu akaun. Kalau nak jadi engineer, belajar ilmu engineer. Menjadi seorang ibu bapa pun juga dikira sebagai pekerjaan. Maka, carilah ilmu menjadi ibu bapa yang terbaik untuk anak yang tersayang.

Anak-anak ini ibarat cap jari. Setiap orang berlainan. Individual differences. Kita tak boleh sama sekali pukul rata anak kita dan anak orang lain adalah sama. Even, anak pertama, kedua dan ketiga juga berbeza.

Peranan Ibu Bapa

Jadi, antara bahaya pesta buku ini kepada anak kecil adalah terlalu banyak produk yang kesemuanya dikatakan baik untuk anak kita. Di sini, peranan ibu bapa adalah besar bagi memastikan bacaan yang tepat mengikut tahap dan umur anak kita.

Kadang-kadang kita dah pilih cantik buku-buku yang bersesuaian dengan umur anak. Tapi, apa pula peranan kita? Adakah wujud interaksi sesama anak dan ibu bapa seperti membacakan buku cerita kepada mereka? Adakah kita seorang ibu bapa yang rajin atau malas membaca?

Penjual buku kanak-kanak akan approach ibu bapa sebab mereka sorang penjual. Mereka bukan pakar dalam psikologi dan pendidikan kanak-kanak. Mereka hanya tahu ‘standard’ buku tersebut untuk dijual kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil sebagai target. Tak lebih daripada itu.

Jika mereka berjaya menjual, maka, mereka seorang penjual yang Berjaya.

Tapi, kita? Adakah kita juga ibu bapa yang Berjaya? Adakah kita menzalimi anak kecil kita?

Tak payah nak cepat-cepat. Kalau bahan bacaan tu tak sesuai dengan umur anak-anak, tunggulah. Belilah bila dah sampai waktunya. Selamatkan diri anda dan anak-anak anda daripada bahaya pesta buku ini.

Tak rugi pun.

Penjual buku kanak-kanak akan approach ibu bapa sebab mereka sorang penjual. Mereka bukan pakar dalam psikologi dan pendidikan kanak-kanak. Mereka hanya tahu ‘standard’ buku tersebut untuk dijual kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil sebagai target. Tak lebih daripada itu.

Tips Makan Di Luar Dengan Anak Kecil

makan di luar dengan anak kecil

Dengan kehadiran si kecil, mungkin ibu bapa merasakan tempat dan suasana yang paling selesa untuk makan bersama anak kecil adalah di rumah. Namun, ada kalanya, ibu bapa ada keinginan untuk makan di luar. Adakah perkara mustahil untuk makan di luar dengan anak kecil? Dengan sedikit persediaan dan tips berikut, ibu bapa masih boleh melakukannya.

Persediaan Makan di Luar dengan Anak Kecil

1. Utamakan dan Pilih Restoran Mesra Kanak-kanak

Perkara ini agak leceh, tetapi menjamin kesejahteraan dan keamanan hidup ibu bapa untuk makan di luar dengan anak kecil. Pertama, ibu bapa perlu untuk membuat sedikit kajian, cukuplah dengan carian di internet mengenai restoran-restoran yang mesra kanak-kanak. Boleh cari review atau blog-blog yang berkongsikan pengalaman masing-masing. Sebagai contoh, ayah ini ada melakukan review terhadap salah satu restoran mesra kanak-kanak bernama Weaning Tots.

Antara perkara yang menarik untuk ada adalah kerusi kanak-kanak, kawasan permainan anak, makanan yang bersesuaian untuk anak kecil serta tidak dilupakan, menu orang dewasa yang enak. 

Jika perlu, telefon dahulu restoran bagi memastikan kesemua fasiliti yang dingini ada dan berfungsi dengan baik dan jika boleh, untuk melakukan reservation termasuklah kerusi kanak-kanak.

2. Pilih Waktu Makan di Luar yang Bersesuaian Dengan Jadual Anak Kecil

Sebagai ibu bapa, kita seharusnya sudah tahu jadual aktiviti seharian anak kecil kita. Ini termasuklah waktu tidur, waktu buang air, waktu makan dan sebagainya. Elakkan untuk makan di luar pada waktu-waktu genting seperti waktu tidur kerana ada kemungkinan mood anak akan menjadi tidak baik, tantrum dan akan merosakkan mood ibu dan bapa.

Asalnya ingin makan di luar untuk bersantai-santai keluarga, akhirnya menjadi medan peperangan antara ibu bapa dan anak kecil pula.

3. Bawa Buku atau Permainan Kegemaran Anak

Jika kita makan di restoran jenis bukan fast food, bersedialah untuk mengisi masa anak-anak sekitar 10-20 minit sebelum makanan dihidangkan. Anak-anak kecil biasanya tidak boleh bertahan 10 minit tanpa berbuat apa-apa, jadi, bagi mengelakkan mereka tantrum, cuba untuk lekakan mereka dengan permainan dan buku kegemaran mereka.

Ramai ibu bapa yang mengambil jalan mudah memasangkan video atau permainan di tablet dan membiarkan anak leka dengan gajet tersebut. Kami tidak menggalakkan ini menjadi kebiasaan kerana kami percaya, aktiviti fizikal anak yang disertai penglibatan ibu bapa adalah penting untuk tumbesaran kognitif dan sosial kanak-kanak.

4. Bersedia Untuk Berjalan-jalan Dengan Anak

Disebabkan anak-anak kecil ini memang susah untuk duduk di satu-satu tempat bagi satu tempoh yang panjang, ibu bapa perlu bersedia untuk membawa mereka berjalan-jalan di sekitar restoran tetapi pastikan anak-anak ini tidak mengganggu pelanggan lain atau tidak masuk ke tempat berbahaya.

5. Kongsi Makanan Anda

Kebanyakan restoran ada menawarkan menu untuk kanak-kanak. Namun, biasanya, menu ini bersaiz kecil dengan harga tidak banyak beza dengan menu dewasa. Kanak-kanak kecil juga biasanya akan hilang fokus di pertengahan sesi makan dan mungkin sahaja tidak menghabiskan makanan mereka.

Jadi, untuk berjimat, ibu bapa bolehlah meminta pinggan kosong dan membahagikan sedikit bahagian makanan ibu atau bapa, jika makanan itu sesuai dimakan anak-anak.

makan di luar dengan anak kecil

Kesimpulan

Walaupun ibu dan bapa merasakan letih dan mencabarh untuk membawa anak kecil makan di luar, namun, hargailah saat-saat berharga ini. Layanlah anak-anak anda sebaiknya kerana momen-momen sebegini mungkin tidak dapat berulang lagi. 

Take it easy. Jika rancangan anda tidak sepenuhnya dapat dilaksanakan seperti asalnya kerana anak-anak kecil, bertenanglah dan nikmati saat-saat meletihkan ini sebelum ianya berakhir.

Tips Anak Minat Membaca

tips anak minat membaca

Apabila anak semakin membesar, timbullah satu persoalan oleh ibu bapa. Bilakah perlu anak-anak diajar membaca? Sebenarnya, sebelum anak diajar membaca, mereka perlulah dipupuk supaya minat membaca. Di sini kami akan kongsikan beberapa tips anak minat membaca untuk dicuba dengan anak masing-masing.

Tips Anak Minat Membaca

Sebagai peringatan, tips-tips ini adalah hanya perkongsian secara umum dan mungkin kurang sesuai untuk sesetengah kanak-kanak. Langkah pertama ibu bapa adalah dengan mengenal pasti kelemahan dan kelebihan anak-anak sendiri dan tidak terlalu memaksa anak-anak terhadap satu-satu cara. Setiap anak adalah istimewa dan unik!

Namun, berikut merupakan beberapa tips anak minat membaca yang boleh dicuba:-

1. Tunjukkan Contoh Yang Baik

Anak-anak belajar daripada pemerhatian mereka. Sebagai ibu atau bapa, sudah pasti perlakuan kita mempunyai impak yang besar terhadap pembentukan nilai dan sikap anak-anak. Jika kita inginkan anak-anak minat membaca, langkah pertama adalah ibu bapa juga perlulah minat membaca dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.

Ini bolehlah dilakukan seawal anak berumur 2-3 bulan. Walaupun pada ketika ini mereka tidak memahami apa yang ibu bapa lakukan, namun, jika ibu bapa konsisten dengan sikap mencintai buku sejak mereka kecil, anak-anak akan ingin menjadi seperti ibu bapa mereka. Ini adalah langkah pertama yang penting jika ibu bapa inginkan anak minat membaca, dan langkah ini sukar untuk dibuat-buat.

2. Sediakan Bahan Bacaan Yang Sesuai

Pepatah Melayu menyebut “Tak kenal maka tak cinta”, jadi, mana mungkin anak-anak boleh meminati membaca andai di rumah tiada bahan bacaan yang sesuai untuk mereka. Sebagai ibu bapa, sediakan ruang dan bahan bacaan yang sesuai dengan umur anak anda. Pastikan juga bahan bacaan sentiasa dikemaskini supaya anak tidak bosan.

Sesetengah ibu bapa risau anak-anak akan merosakkan buku. Insiden buku terkoyak, buku dikunyah, buku diconteng adalah perkara biasa. Elakkan memarahi anak dengan keras jika ini berlaku, takut-takut anak ‘associate’ buku dengan perkara yang tidak disukai ibu bapa. Sebaliknya, cuba untuk tunjukkan cara sebenar berinteraksi dengan buku.

Pemilihan buku yang sesuai dengan umur anak juga penting. Sebagai contoh, bagi anak yang berumur bawah 2 tahun, utamakan buku-buku yang diperbuat daripada kain atau bahan kalis koyak dan kalis air. Anak-anak umur seawal ini biasanya akan sedikit kasar dengan buku kerana mereka masih dalam fasa perkenalan.

3. Bawa Anak ke Perpustakaan atau Kedai Buku

Rajinkan membawa anak-anak ke perpustakaan atau kedai-kedai buku. Di sini, anak-anak akan diperlihatkan dengan suasana dikelilingi buku. Anak-anak juga dapat memerhatikan bagaimana kanak-kanak lain (atau orang dewasa) berinteraksi dengan buku dengan cara yang betul. Benar, anak-anak yang kecil mungkin akan mudah hilang fokus dan sekadar berlari dan bermain. Tidak mengapa, sedikit demi sedikit, jika mereka telah dibiasakan dengan suasana perpustakaan, mereka akan mula belajar dan asimilasi dalam nilai mereka.

Bawa juga anak-anak ke kedai bukun beri mereka autoriti untuk memilih bahan bacaan mereka. Anak-anak suka apabila mereka diberikan tanggungjawab. Namun, ibu bapa perlu juga menapis pemilihan bahan bacaan anak-anak agar tidak terdedah kepada perkara yang tidak sepatutnya pada umur yang tidak sesuai.

4. Jadikan Masa Membaca Sebagai Masa Keluarga

Ibu bapa jangan pula hanya membelikan buku-buku untuk anak-anak lalu berharap agar anak-anak boleh membaca sendiri. Sebaliknya, ibu bapa perlu bersama-sama membaca dengan anak-anak dan berkomunikasi dengan anak-anak mengenai apa yang dibaca.

Jadikan sesi membaca buku sebagai aktiviti keluarga yang menyeronokkan supaya anak-anak akan seronok dan ternanti-nanti sesi seterusnya. Anak-anak akan ‘associate’ membaca dengan fokus daripada ibu bapa.

Kesimpulan

Tiada jalan mudah atau silap mata dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak. Kesemuanya perlukan perancangan, perbelanjaan kewangan serta usaha dan pengorbanan para ibu bapa. Namun, percayalah, segala penat lelah ini akan berbaloi juga satu hari nanti.

Selamat mencuba!