Tanda Anak Growth Spurt

Kadang-kadang, dalam membesarkan anak-anak kecil ni, mungkin kita ada terperasan yang ada satu fasa yang anak kita ni sangat banyak makan. Ibarat perutnya ada portal ke dimensi lain. Ini adalah salah satu tanda anak growth spurt, atau fasa tumbesaran fizikal anak tersebut.

Memahami Proses Tumbesaran Anak-Anak

Bayi membesar dengan sangat pantas pada tahun pertama selepas kelahirannya. Ini kemudiannya akan berkurang pada umur anak sekitar 2 tahun dan kemudiannya akan meningkat semula sewaktu anak akil baligh sewaktu zaman remajanya.

Dalam proses tumbesaran ini, bayi akan mengalami pertambahan berat badan dan panjang badan yang sangat ketara. Namun, pakar kanak-kanak masih belum mampu menjangkakan secara tepat bilakah growth spurt ini akan berlaku, tambahan pula, fasa ini berlainan dalam kalangan kanak-kanak yang berbeza.

Menurut Puan Leigh O’Connor, seorang International Board Certified Lactation Consultant yang berpengalaman dari Amerika Syarikat, beliau biasanya melihat growth spurt pada anak kecil sekitar umur 3 minggu, 6 minggu, 3 bulan dan 6 bulan.

Berikut merupakan antara tanda anak growth spurt yang patut ibu bapa tahu dan kenalpasti.

Tanda Anak Growth Spurt Yang Perlu Ibu Bapa Tahu

1. Anak Sentiasa Lapar

Pasti kita pernah melalui fasa menenangkan di mana kita telah memahami jadual pemakanan anak kita. Namun, tiba-tiba, segalanya berubah. Anak kita masih lapar. Lepas makan dengan banyak, mahukan susu pula. Tak berapa lama kemudian, mahu makan lagi. Apa yang sedang berlaku?

Sepertimana dinyatakan di atas, growth spurt adalah fasa tumbesaran fizikal anak yang lebih pantas daripada waktu biasa. Penambahan berat badan dan panjang badan secara ketara ini sudah tentu memerlukan sumber nutrisi yang banyak yang perlu didapati daripada makanan. Kadar metabolisme anak menjadi sangat tinggi kerana semua nutrisinya ditukar kepada kalori untuk tumbesaran badan mereka.

Atas sebab inilah anak kelihatan sentiasa lapar, ianya adalah tanda penting yang badan anak kita sedang memberikan isyarat sedang berlakunya growth spurt pada anak.

tanda anak growth spurt

2. Corak Tidur Berubah

Berkenaan tidur ketika fasa growth spurt ini masih menjadi misteri para pakar perubatan. Namun, yang pasti, anda akan nampak perubahan corak tidur anak anda. Yang menjadi misteri, ada ibu bapa yang melaporkan anak semakin banyak tidur dalam fasa growth spurt dan dalam masa yang sama, ada juga ibu bapa melaporkan anak mereka semakin kurang tidur sewaktu fasa ini.

3. Anak Lebih Meragam Daripada Biasa

Sebenarnya, tanda anak growth spurt ini adalah berkemungkinan hasil daripada dua tanda di atas. Anak yang sentiasa lapar dan mengantuk lebih berkemungkinan untuk meragam dan merengek. Malah, ada juga pakar perubatan yang berpandangan bahawa tumbesaran pesat sewaktu growth spurt mungkin mengakibatkan otot dan tulang anak sedang membesar dan mengakibatkan rasa sakit dan tidak selesa pada anak, mengakibatkan mereka merengek.

4. Anak Mempelajari ‘Skill’ Baru

Orang-orang tua selalu berkata, kalau anak meragam tiba-tiba tu tanda anak nak belajar benda baru. Mungkin kata-kata orang tua ini ada asasnya.

Dalam fasa growth spurt, bukan sekadar badan yang membesar, otak anak turut mengalami perkembangan pesat. Mungkin anak itu mula belajar untuk memegang mainan yang sebelum ini sukar dipegang, mungkin anak belajar untuk berjalan atau mula ingin bercakap perkataan pertamanya.

Kesimpulan

Semua anak pasti akan melalui fasa growth spurt beberapa kali dalam fasa tumbesarannya. Ibu bapa perlu tenang dalam mengenalpasti tanda anak growth spurt kerana ianya adalah fasa biasa tetapi penting untuk anak. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi saksi proses ini kerana ianya hanya berlaku beberapa kali sahaja ketika anak masih kecil dan tidak akan berulang kembali.

Anak Bercakap Perkataan Tidak Elok

Anak-anak bercakap perkataan tidak elok seperti mencarut, menyumpah atau kata-kata yang negatif yang biasanya dipelajari daripada sekeliling. Bila sebut sekeliling, bukan sekadar dari orang dewasa, bahkan ia termasuklah dari rakan sebaya, TV dan internet, atau jika yang dah pandai baca sikit, boleh jadi dari tulisan.

Kadang-kadang kita risau, kita sedaya upaya menjaga perkataan yang disebut di rumah dengan perkataan yang baik. Tetapi, kita terkejut bila tiba-tiba terpacul dari mulut si kecil seperti bodoh atau kata-kata kesat yang lain. Kalau ada saudara mara yang terdengar, kita yang malu.

Kita pun mungkin tuduh anak bercakap perkataan tidak elok itu mungkin perkataan itu dipelajari dari Taska atau Tadika, mungkin bila bawa main ke taman permainan dan mendengar dari kanak-kanak lain yang bermain di tempat yang sama.

Ini adalah sifat semulajadi manusia untuk belajar berkomunikasi dengan mendengar perbualan dari sekeliling, kemudian perbendaharaan kata mereka pun bertambah (vocab) dan tadaaaa, mereka pun boleh turut sama berbual.

Kajian dari Stanford Universiti di bawah pakar bahasa, Melissa Mohr ada menyatakan dalam setiap bahasa, ada lebih kurang 0.7% perkataan berbentuk ‘swearing’ yang mana perkataan ini lebih banyak dituturkan di dalam perbualan harian. Melissa juga menekankan kaitan yang significant kenapa kanak-kanak boleh tahu sekurang-kurangnya satu perkataan yang tidak elok pada umur 2 tahun!

Sebab pada umur bawah 3 tahun, Montessori merujuk otak kanak-kanak di bawah unconscious mind. Mereka akan serap apa sahaja dan mendengar apa sahaja yang berata di sekeliling. Di dalam Islam, umur begini kita kata kan belum mumayyiz iaitu tidak tahu membezakan yang mana baik dan buruk sehingga umur 6/7 tahun.

Mengapa Anak Bercakap Perkataan Tidak Elok

Jadi, kenapa kanak-kanak cakap perkataan yang tidak baik?

Sebab mereka tak tahu. Benar, mereka tak tahu pun perkataan yang dia tiru adalah perkataan yang tidak baik. Mereka hanya memerhati dari sekeliling (atau menonton), perkataan yang digunakan dengan situasi-situasi tertentu. Bila berlaku situasi begini, kena sebut perkataan ini.

Contoh,

Kalau kawan ejek, kena sebut bodoh. Kalau kena marah, kena sebut pukul kang. 
Kalau hilang barang, kena maki orang.

Mereka tidak akan tahu menggunakan perkataan tersebut kalau orang sekeliling tidak menggunakan. Mereka pun kadang-kadang bereksperimen dengan perkataan yang digunakan itu betul atau tidak dalam pelbagai konteks dan situasi. Adakah perkataan itu perkataan yang kelakar? atau menarik perhatian? atau buat orang lain sedum dan marah?

Mereka cuma tak tahu.

Bagaimana Mengubah Daripada Anak Bercakap Perkataan Tidak Elok

Kita dibiasakan dengan kaedah ‘behavior modification’ iaitu untuk mengubah tingkah laku kanak-kanak, kita perlukan sesuatu seperti reinforcement (pengukuhan/peneguhan) dan punishment (hukuman). Dua-dua itu bertujuan untuk meningkatkan tingkahlaku yang baik, atau membuang tingkahlaku yang tidak baik.

Cuma kadang-kadang kita tersilap. Sebab ibu bapa pun panik. Kali pertama kan dengar. Kita mungkin overreact dengan situasi yang terjadi.

Kalau ibu bapa terdengar anak sebut perkataan yang tidak elok, apa yang ibu bapa buat? Ya, lazimnya kita akan terus marah mereka. Atau terus melakukan proses reinforcement atau punishment.

Anak pun terpinga-pinga kena marah. Ini yang selalu terjadi.

Apa Perlu Dilakukan

Tenang, dan bagitahu kepada anak yang perkataan itu tidak elok dan tidak boleh digunakan. Bagi pilihan perkataan yang lain yang lebih baik dan sesuai. Bagitahu yang perkataan yang tidak elok itu sama sakitnya macam kena tumbuk or cubit.

Jangan gelak! Kita mungkin kelakar sebab si kecil cakap benda yang tak elok atau salah tempat. Ingat ya tadi, mereka nak explore penggunaan perkataan either perkataan itu untuk marah ke, sedih ke, lucu ke.. Kalau kita gelak, mereka akan salah faham dan akan ulang berulangkali.

Tolong check apa yang ditonton. TV ke, youtube ke. Bukan boleh percaya sangat rancangan kanak-kanak ini.

Berbalik kepada kita, tangok diri sendiri berbual bagaimana. Mungkin kita secara tak sedar tersebut depan anak ke. Berborak dekat telefon dengan kawan sambal menyumpah. Kalau perasan silap kita, cepat-cepat bagitahu dekat anak perkataan itu tidak sesuai dan minta maaf.

Kalau ada improvement, anak tak sebut perkataan yang tidak elok even dalam situasi yang sama, jangan lupa puji! Pujian merupakan salah satu positive reinforcement untuk meningkatkan tingkat laku yang baik. Ini lebih efektif.

Yang paling penting, konsisten. Kalau hari ini kita tegur guna perkataan lain, esok kita biarkan anak bercakap perkataan tidak elok, pun tak jadi juga. Istiqamah dalam mengubah tingkahlaku anak-anak. Jangan on-off bila teringat.

Tapi ingat ya, setiap anak berbeza. Maka hasilnya juga berbeza, cepat atau lambat je.

Selective Mutism – Apa Yang Perlu Diperhatikan

“Puan, anak puan ni terlalu pendiam di dalam kelas. Kat rumah memang pendiam juga ke?”

Terkejut ibunya. Sebab anaknya di rumah sangatlah aktif dan banyak bercakap. Jadi, bila guru memberitahu yang anaknya seorang pendiam, mestilah ibunya terkejut.

Banyak kali saya menjadi saksi, apabila anaknya masuk sahaja ke dalam kereta, segala macam aksi dapat dilihat dari luar. Dan banyak bercakap dengan adiknya.

Di sekolah, dia hanya meriah dan aktif bercakap dengan seorang guru sahaja. Dengan guru-guru lain, memang mulut dia terkunci rapi.

Pelik bukan?

Tidak terlalu pelik jika kita faham keadaan dan tingkah laku kanak-kanak yang dipanggil ‘Selective Mutism’.

Apa itu Selective Mutism?

Selective Mutism ini adalah satu bentuk anxiety di anak kanak-kanak tidak boleh bercakap atau berkomunikasi dengan baik pada situasi-situasi tertentu. Lazimnya macam contoh di atas, kanak-kanak mampu berinteraksi dengan baik dan efektif di rumah tapi tidak di sekolah kerana di rumah, mereka berasa selesa, tenang dan selamat.

Keadaan ini hanya dapat dilihat jika kita berikan situasi yang berbeza untuk kanak-kanak, seperti di sekolah. Sebab itu masalah Selective Mutism ini tidak dapat dikenal pasti sehingga umur anak-anak ke sekolah.

Di sekolah pula, guru mungkin tersalah tafsir jika tidak diamati dengan betul. Guru akan tersilap dengan menganggap anak tersebut seorang yang pelajar yang baik, pendiam, sopan, tidak bising dan pemalu – yang penting tidak mengganggu sesi pembelajaran di dalam kelas.

Maka, ibu bapa pun gembira bila guru memberitahu anaknya berkelakukan yang sangat baik ketika ambil report card.

Ia tidak tertakluk sahaja kepada persekitaran dan ruang, tetapi juga orang! Ya, mereka juga akan bercakap dengan orang-orang tertentu sahaja.

Cabaran Anak Selective Mutism

Kanak-kanak yang mempunyai masalah Selective Mutism sebenarnya struggle untuk melakukan aktiviti di dalam kelas seperti membaca dengan kuat, bercakap di hadapan kelas, bekerja di dalam kumpulan – di mana ia memberi kesan kepada perkembangan yang menyeluruh.

Masakan tidak, nak minta izin pergi tandas pun takut nak angkat tangan.

Mereka bukan tak mahu cakap sebab tiada pendedahan atau pengetahuan, cuma ya, keadaan sekeliling tidak membuatkan mereka rasa cemas sehingga tidak mahu/takut untuk bercakap.

Contoh simptom lain seperti kanak-kanak ini akan menggunakan non verbal actions seperti mimik muka, angguk, facial expression. Itu pun takut-takut nak respon.

Maka ia membawa kepada masalah-masalah lain seperti masalah pembelajaran dipinggirkan kawan-kawan (social isolation), takut dimalukan di hadapan orang lain, clingy dengan ibu bapa sahaja, dan boleh membawa kepada temper tantrum dan tingkah laku negatif yang lain.

Salah Faham Selective Mutism

Antara misconception tentang kanak-kanak yang mempunyai masalah Selective Mutism ialah ingatkan mereka mempunyai trauma. Biasanya, trauma akan berlaku dan membuatkan kanak-kanak tidak bercakap untuk semua keadaan, dan bukan dengan keadaan tertentu. Ini tidak terjadi kepada kanak-kanak Selective Mutism.

Disebabkan Selective Mutism ini adalah masalah yang jarang berlaku, ia bukan senang untuk kita kenalpasti. Bahkan di kalangan ahli perubatan kanak-kanak sekalipun. Jika tersilap, kita akan merujuk anak-anak ini mempunyai masalah komunikasi atau autism.

Dengan kata lain, mereka mahu bercakap. Berkobar nak bercakap. Tetapi tidak boleh bercakap dan bukannya tidak mahu bercakap.

Dan kanak-kanak ini bukan pemalu. Mereka hanya terperangkap dengan anxiety dalam diri. Lagi lama mereka terperangkap, lagi sukar untuk mengatasi masalah.

Kaedah Menangani Selective Mutism

Apakah jalan terbaik untuk mengatasi (merawat) masalah ini?

Jangan sesekali paksa mereka untuk bercakap. Paksa tidak akan selesaikan masalah. Bagi mereka bercakap adalah perkara yang sangat susah dan perlukan rawatan yang berterusan. Bukan selesai dalam masa sehari.

Untuk ibu bapa, kita tahu anak kita mempunyai masalah ini, kita ada tendency untuk membantu mereka secara berlebih. Contohnya, jika di restaurant, anak akan rasa berdebak untuk order makanan, maka secara automatic ibu bapa akan membantu mereka memesan makanan. Tujuan ibu bapa untuk mengurangkan rasa debaran si anak, tetapi ia adalah satu langkah ‘rescuing’ untuk selamatkan anak-anak. Dan ia tidak berkesan untuk menyelesaikan masalah kerana mereka akan terus diam selamanya jika berada di situasi yang sama untuk kemudian hari.

Di sekolah pula, selain kanak-kanak ini dianggap sebagai kanak-kanak yang baik dan sopan, ada juga guru mengganggap mereka sebagai orang yang degil. Degil nak bercakap. Keras kepala. Lama-lama, guru pun malas layan.

*kalau ada anak-anak begini, bawa jumpa untuk diagnos. Ikut statistik, tak ramai pun ada Selective Mutism. Mungkin simptom hampir sama, tapi tidak sama.

Tanda Anak Lewat Perkembangan

Dalam membesarkan anak-anak, ibu bapa perlu peka serba serbi terhadap perkembangan anak-anak. Ini termasuk mengenalpasti tanda anak lewat perkembangan daripada awal lagi.

Tanda Anak lewat Perkembangan Boleh Dikenalpasti Seawal Anak Berumur 1 tahun

Seringkali apabila anak kita kelihatan ‘lewat’ daripada anak-anak orang lain, ibu bapa memandang ringan dan sering berkata “tak mengapa, nanti pandailah dia”. Benar, setiap anak adalah unik dan perkembangan kanak-kanak berbeza antara satu sama lain, namun, ibu bapa perlu tahu tanda anak lewat perkembangan daripada kadar normal yang ditetapkan pakar kanak-kanak.

Berikut merupakan tanda anak lewat perkembangan yang boleh diperhatikan apabila anak sudah berumur 1 tahun.

  • tidak keluarkan bunyi 
  • bercakap lewat 
  • tidak atau kurang merangkak 
  • belum berjalan 
  • kurang pandai bermain bersama orang 
  • kurang bermain jenis-jenis permainan yang berlainan variasi 
  • terlalu aktif dan tidak boleh ikut arahan mudah

Jika Anak Anda Ada Tanda Di Atas, Jangan Bertangguh

Selalu yang berlaku, ibu bapa cuba untuk mengatakan bahawa anak-anak kita adalah normal seperti anak-anak orang lain walaupun sudah perasan tanda-tanda di atas.

TIADA SILAPNYA MENGAKUI ANAK KITA LAMBAT PERKEMBANGAN.

Ini tidak bermakna anak kita kurang cerdik, ini tidak bermakna anak kita bermasalah, ini hanya bermaksud anak kita memerlukan BANTUAN!

Apabila kita menunggu ke saat akhir seperti adegan ini:

Anak umur 2 tahun: hanya menunggu dan lihat

Anak umur 3 tahun: tunggu lagi takut-takut anak boleh buat surprise bercakap seperti anak lain

Anak umur 4 tahun: hurm. Tunggu lagi dan mula mencari

Anak umur 5 tahun: ke hospital/klinik utk berjumpa doktor dan berjumpa terapis berkaitan 

Anak umur 6 tahun: panik, mula berfikir sekolah mana yang sesuai? Anak banyak nak catch up lagi

Inilah yang banyak berlaku.

tanda anak lewat perkembangan

Mengapa Tunggu Wahai Ibu Bapa?

Nasihat saya, untuk bakal ibu bapa/ ibu bapa muda yg ada anak-anak yg baru lahir, belajarlah positive parenting skills yang memberi kesan kepada perkembangan bahasa dan komunikasi anak dari awal – 
orang putih kata “Prevention is better than cure.”

Jika anak ada ciri-ciri kelewatan yang kita nampak seawal umur 1 tahun dan ke bawah, bertindak cepat! Tidak perlu untuk tunggu lagi!

Cuba bayangkan, jika ibu bapa mula bertindak dari umur 1 tahun, bukankah ianya lebih memberi peluang utk anak catch up?

Dan buang stigma bahawa anak-anak yang perlukan rangsangan dan pergi terapi adalah anak “istimewa”,  kerana mereka mungkin hanya mengalami kelewatan perkembangan sahaja tanpa mempunyai apa-apa diagnosis.

Tak perlu takut mendapatkan perkhidmatan dari clinical psychologist, audiologis, terapis dan sebagainya. Tidak salah pun jika berjumpa awal.

Anak Meniru Tabiat Membaca Ibu Bapa

Ramai ibu bapa yang terus inginkan anak minat dan pandai membaca, dalam masa yang sama, ibu atau bapa sendiri tidak menunjukkan minat membaca. Tahukah anda, anak meniru tabiat membaca ibu bapa?

BACA JUGA: Tips Anak Minat Membaca

Anak Meniru Tabiat Membaca Ibu Bapa

Peniruan atau ‘imitation’ adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak. Macam mana ia berfungsi? Dari pemerhatian sekeliling, maka apa yang mereka tengok tu akan sampai ke otak untuk diproses terlebih dahulu sebelum mereka mencuba sesuatu.

Ia terjadi untuk semua jenis perkembangan. Daripada bahasa, sehinggalah sosial. 

Membaca. Ramai orang ingat membaca itu kemahiran semata-mata. Kemahiran membaca. Atau reading skill. Sebab itu ibu bapa berlumba-lumba nak bersaing dan memastikan anak-anak cepat dan dapat membaca dengan lancar.

Tapi, membaca adalah lebih daripada sekadar kemahiran.

Juga bukan sekadar memahami simbol, gambar, tulisan atau any form yang membentuk komunikasi satu atau dua hala. Ia datang dari pengalaman memerhati sekeliling. Dari memerhati, maka akan datang proses imitation untu meniru apa yang mereka perhati.

Kanak-Kanak dan Sifat Meniru

Kita kembali semula ke zaman tatkala anak-anak masih lagi bayi.

Bayi akan meniru aksi dan suara. Peringkat ini, bayi sebenarnya sedang ‘membaca’ segala pergerakan termasuklah mimik muka, gesture, suara dan sebagainya.

Kita acah gelak, baby turut ketawa. 
Kita tipu-tipu menangis, baby pon menangis sama. 
Kita jerit aaaa, baby pon tak boleh kalah untuk jerit aaa juga.

Meniru Ibu Bapa Membaca

Dalam konteks membaca, dengan memperbanyakkan bahan bacaan (enrich printed environment) adalah sesuatu yang baik jika mengikut tahap perkembangan anak-anak.

Letaklah pelbagai bahan bacaan seperti picture card, buku cerita, softbook dan sebagainya. Tapi ia tidak mampu nak bagi benefit yang lagi besar dari yang ini, iaitu

Ya. Jika ibu bapa membaca di rumah dan menjadikannya satu tabiat. Ia memberi implikasi yang sangat besar terhadap perkembangan kanak-kanak. Termasuklah menyediakan kanak-kanak untuk minat membaca.

Reading readiness adalah sesuatu yang real.

Memaksa anak-anak membaca adalah sesuatu yang tidak adil bagi mereka. Bila membuat sesuatu dalam keadaan terpaksa, maka ia tidak akan memberi kesan jangka panjang. Dan ia sia-sia.

Ia bermula dengan tabiat ibu bapa membaca dahulu, baru datang yang lain-lain seperti beli buku macam-macam, bawa ke perpustakaan, story tellings dan seterusnya.

Kajian Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia 2014 menunjukkan purata rakyat Malaysia membaca hanyalah 15 setahun. Berbanding pada tahun 2004 hanyalah 2 buku setahun. Ini disebabkan medium membaca yang makin meluas seperti ebook dan medium yang lain.

Ia jumlah yang sedikit.

anak meniru tabiat membaca

Minat Membaca Anak Akan Datang Sendiri Jika Ibu Bapa Turut Minat Membaca

Kita dibesarkan dengan cara membaca itu adalah satu kemahiran. Then, what next? Bila dah tahu membaca, kemudian nak buat apa?

Kita tak didedahkan dengan nilai membaca itu sendiri. Tidak menjadi habit. Nak pegang buku pun malu dicaci masyarakat. Nak beli buku pun susah. Rasa membazir.

Nilai membaca tu tak berjaya diserap.

Sudah-sudahlah paksa anak membaca.

Ia perlu datang sendiri. Sampai satu tahap mereka sendiri akan minta kan kita sendiri untuk membeli buku. Anak meniru tabiat membaca ibu bapa sendiri. 

Cuba tanya diri sendiri, berapa buah buku anda baca setahun?

Kanak-kanak dan Gajet

kanak-kanak dan gajet

Namakan apa sahaja jenis gajet yang memenuhi kehidupan. Ipad, mobile phone, tablet, laptop dan lain-lain. Kebergantungan kita terhadap gajet semakin menjadi-jadi. Sampaikan nak diamkan anak yang menangis sekali pun, ibu bapa terus menghulur gajet supaya mereka diam. Bahkan, ada ibu bapa yang memberikan searang satu anak masing-masing yang masih kecil sebuah gajet, dan digunakan tanpa kawalan. Apakah kesan jika dibiarkan kanak-kanak dan gajet?

Kanak-Kanak dan Gajet: Parah Jika Dibiarkan

Perkembangan awal kanak-kanak lebih tertumpu kepada penggunaan deria atau sensory mereka. Deria ini dirangsang dengan bercakap dengan orang, membuat bunyi, menyentuh dan melihat alam sekeliling, merasa dan menghidu. Mereka perlu bergerak.

Telah banyak kajian daripada pakar telah memberi amaran jika ibu bapa memberikan gajet kepada anak-anak tanpa kawalan, maka ia boleh memberi kesan jangka masa panjang yang negatif. Akan wujud masalah tingkah laku.

Jika fokus kanak-kanak hanya untuk gajet menyebabkan tiada interaksi luar yang berlaku. Kurangnya perkataan yang mereka tahu. Malu nak bercakap. Tiada keyakinan diri. Tak kenal sesama saudara.

Belum lagi merencatkan perkembangan motor halus. Perkembangan fizikal kanak-kanak tidak berlaku dengan normal. Pada waktu terbaik mereka untuk menguatkan otot, bermain di luar, tetapi kita ubah dengan berikan gajet yang hanya menggerakkan jari jemari.

Emosi mereka juga jadi tidak terkawal. Cuba ambil gajet dari tangan mereka. Atau tidak benarkan mereka menggunakan gajet untuk sementara waktu. Apa yang akan mereka buat? Boleh jadi, kanak-kanak akan memukul ibu bapa untuk melepaskan geram. Malah, lebih teruk, ini boleh membawa kepada masalah mental.

Sebab itu, saya sarangkan bahawa tiada interaksi antara kanak-kanak dan gajet bagi umur 2 tahun ke bawah. Langsung jangan beri.

Jika anak sudah berumur antara 2-6 tahun ke bawah, bolehlah diberi tetapi maksimum hanya 2 jam sahaja penggunaan.

Janganlah degil.

Takut Anak Ketinggalan Dengan Teknologi Semasa

Benar, kita tidak mahu anak kita ketinggalan. Sentiasa up to date dengan perkembangan teknologi terkini. Tapi biar berpada. Berpada bagaimana? Berikan ikut umur dan kesesuaian masa dan tempoh penggunaan.

Bukan semua umur kanak-kanak menjalani perkembangan dengan kadar yang sama. Adakalanya, mereka belum bersedia. Kalau kita langgar juga, kita melangkaui perkembangan yang sepatutnya berkembang terlebih dahulu.

Apa Solusinya?

1. Paling utama, ibu bapa tolong bercakap dengan anak-anak. Tidak bergerak depan skrin akan menjadikan anak-anak  tidak tahu bersosial.

2. Letak peraturan waktu penggunaan supaya kanak-kanak tidak sampai tahap ketagih, atau menjadi hamba gajet. Setiap kali sebelum memberikan gajet, ingatkan dan berjanji dengan anak bahawa dia hanya boleh bermain untuk satu jangka masa yang dibenarkan sahaja.

3. Jadilah role model. Jika kita tak bagi anak-anak guna gajet ketika makan, sebagai ibu bapa, kita pun seharusnya jangan guna juga. Kalau tak jadi sia-sia. Seperti nak suruh anak ketam jalan lurus, tapi mak dia pun jalan senget dan tak betul. Walk the talk.

4. Bermainlah dengan anak tanpa menggunakan gajet. Banyak lagi bahan konkrit dan berjisim di dunia nyata berbanding aplikasi di skrin gajet.

5. Games yang berasaskan pendidikan di dalam gajet tu boleh main, tetapi bersama-sama ibu bapa, dan ada limit masa yang dibenarkan. Bukannya beri kebebasan untuk anak bermain tanpa had.

Renungan

Jika ditenung komik di atas, bukankah ini ironi? Ibu bapa yang kononnya tahu tentang anak-anak, tetapi sebenarnya melakukan kesalahan dalam membesarkan anak.

Kita fikir kita dah jadi ibu bapa yang terbaik bila hantar anak-anak ke tadika/taska yang biarkan anak bermain. Tetapi di rumah, kita yang abaikan tanggungjawab dengan merosakkan perkembangan kanak-kanak.

Kita dah buat salah dengan anak pertama dulu. Tapi buat lagi salah dengan anak kedua, ketiga dan seterusnya.

Kita yang salah.

Melatih Anak Potty Training

melatih anak potty training

Apabila anak mencecah umur 2 tahun (ketika mereka sudah boleh memahami arahan mudah serta boleh berdialog ringkas yang difahami ibu bapa, tibalah masa mendebarkan ibu bapa, masa melatih anak potty training. Ada kalanya waktu ini begitu meletihkan ibu bapa, namun, ianya perlu dilalui bagi membentuk anak yang berdikari.

Berikut kami ringkaskan beberapa tips persediaan melatih anak potty training.

Fasa Persediaan Melatih Anak Potty Training (Umur Anak 2 Tahun ke Atas)

1. Modelling: tunjukkan kepada anak bila kita sendiri rasa nak ke tandas, beritahu anak yang ibu atau ayah ingin ke tandas untuk membuang air kecil atau besar. Tunjukkan ekspresi apabila kita rasa nak membuang air (ekspresi tidak tahan, sakit perut dan lain-lain yang sesuai)

2. Penceritaan: gunakan buku cerita tentang potty training. Ibu bapa juga boleh tunjukkan video-video karakter animasi atau bayi lain yang sedang potty training di Youtube.

3. Encouragement: Sentiasa komunikasi kepada anak bahawa mereka sudah cukup besar dan budak  besar dah tak pakai lampin. Sambil itu, ibu bapa perlulah mengajak anak untuk menggunakan potty.

4. Belikan seluar dalam yang menarik minat anak. Contohnya, jika anak minat kartun Upin dan Ipin, bolehlah carikan seluar dalam dengan kartun Upin Ipin bagi membuatkan anak gembira memakai seluar dalam.

5. Sebelum benar-benar melakukan potty training, ibu bapa perlulah mempunyai cukup data melalui pemerhatian tentang kekerapan serta waktu anak membuang air kecil dan besar.

Fasa Latihan

1. Perkara paling utama yang ibu bapa perlu ingat, aktiviti potty training ini mesti konsisten! Jika ibu bapa dan anak sudah bersedia untuk melakukan potty training, patuhi jadual yang kita tetapkan supaya anak pun tidaklah keliru.

2. Tentukan hari untuk latihan menggunakan tandas ini, seelok-eloknya 3-5 hari berturut-turut. Di sini perlu ditekankan bahawa bilangan hari utk anak faham bergantung kepada tahap penerimaan, kefahaman bahasa dan kemahiran anak. Fahami dulu tahap dan sikap anak anda.

3. Melalui permerhatian kekerapan dan masa anak, tentukan masa untuk anak ke tandas. Ada kanak -kanak yang mengambil masa selang 15 min, ada selang 30 minit, ada selang 1 jam. Jadual badan anak ini perlu ibu bapa ambil tahu dan fahami bagi membantu ibu bapa merancang jadual yang terbaik.

4) Apabila tiba masannya untuk ke tandas, berinteraksilah dengan anak. Beritahu anak bahawa kita nak ke tandas untuk membuang air. Sekarang dah tiba masanya untuk buang air kan? Lihat reaksi anak samada anak sudah memahami atau tidak.

5. Ulangi proses ini berulang-ulang kali. Ini termasuklah aktiviti masuk tandas, buka seluar, duduk di potty, membuang, basuh, flush, basuh tangan, pakai seluar. Ada kalanya anak-anak tidak membuang air pun tetapi teruskan konsisten melakukan perkara sebegini supaya anak tahu apa yang mereka perlu lakukan. Pastikan langkah-langkah ini diulang tanpa mengubah susunan perkara yang perlu dilakukan supaya anak-anak tidak keliru.

Fasa Pengukuhan

Walaupun anak faham, tetapi ada kalanya mereka tetap akan terbuang air kecil dalam seluar kerana beberapa faktor:-

1.  Belum betul-betul faham perasaan nak terbuang air. Di sini, perlu perbanyakkan lagi ekspresi ibu bapa melalui modelling supaya anak faham perasaan ingin buang air.

2. Ada anak yang terlalu suka bermain sehingga menahan daripada pergi ke tandas. Akhirnya, apabila tidak mampu ditahan lagi, itulah yang terlepas di dalam seluar. Untuk anak-anak sebegini, kita perlu ingatkan bahawa waktu ke tandas adalah lebih penting dan dia boleh bermain selepas ke tandas.

3. Kurangnya bantuan ibu bapa pada fasa awal potty training anak. Sebaiknya, pada fasa awal latihan, apabila kita nampak gaya badan anak macam nak membuang (contohnya kaki rapat macam menahan kencing atau cubaan meneran), terus bawa anak ke tandas.

4. Apabila anak-anak berjaya untuk melakukan potty training, puji mereka dan berikan galakan untuk terus lakukan perkara yang baik. Cuba untuk tidak terus memarahi jika mereka gagal sesekali, takut-takut mereka akan terus berputus asa kerana terlalu takut dimarahi.

Kesimpulan

Tidak dinafikan, melatih anak potty training adalah fasa yang meletihkan bukan sahaja ibu dan bapa, malah anak kecil itu sendiri. Kesabaran ibu bapa amat penting bagi memastikan potty training anak anda berjaya.

Melabel Anak: Jangan Pandang Remeh

melabel anak

Pernah ke dengar bahawa kata-kata ibu bapa itu adalah doa? Begitulah juga dengan budaya melabel anak oleh ibu bapa, ianya berpotensi mendatangkan kesan yang mendalam kepada anak-anak tersebut.

Budaya Melabel Anak

Manusia ini hidup di dalam keadaan ‘homogeneity‘, iaitu untuk dikategorikan sebagai normal, corak kehidupan kita perlulah bersamaan dengan corak kehidupan majoriti dalam masyarakat. Jika ada terlain sedikit, maka kita akan hukum orang yang tak sama dengan melabel mereka dengan bermacam-macam label.

Kita bukan bercakap tentang label kanak-kanak istimewa seperti autism, disleksia, ADHD dan sebagainya. Bukan itu yang saya maksudkan.

Label yang saya maksudkan ini terhasil daripada pemerhatian biasa.

Contoh Situasi

“Oh, Ahmad ini cuai sikit. Careless. Jangan bagi anak saya apa-apa responsibilities ye cikgu.” pesan Ibu Ahmad kepada cikgunya.

Ibu Ahmad melabel anaknya dari kecil sebagai anak yang sentiasa cuai. Ibunya seakan tidak percaya dengan anak sendiri. Semua perkara melibatkan kehidupan Ahmad akan diuruskan dan diselesaikan ibunya. Masukkan buku di dalam beg untuk hari esoknya, pack barang, basuh pinggan dan sebagainya.

Di sekolah, Ahmad sentiasa diingatkan untuk tidak membuat kesalahan bodoh di dalam latihan. Diulang-ulang perkataan careless atau cuai di dalam benak minda Ahmad

Jangan Pandang Remeh Kesan Melabel Anak

Apabila kita melabel seorang kanak-kanak, perkataan dariapda orang dewasa itu sifatnya sangat kuat kesannya terhadap anak tersebut. Setiap label perkataan yang kita berikan seperti malas, bijak, lembam, hiper – merupakan satu bentuk jangkaan yang mampu mempengerahui perangai atau tingkah laku jangka panjang.

Masihkah kita ingat lagi report kad semasa zaman sekolah kita dahulu? Guru akan menulis komen atau ulasan tentang prestasi anak murid sepanjang tahun tersebut.

“Ain seorang pelajar yang pendiam.”

“Keputusan Ali merosot kerana terlalu banyak bermain.”

“Prestasi teruk. Tidak bermaya.”

Selain untuk memberikan ulasan kepada ibu bapa, sebenarnya ulasan itu juga bertujuan untuk memberi persediaan kepada bakal guru tahun depan berdepan dengan anak murid yang baru. Malangnya, apabila guru baru menerima label ulasan yang berbentuk negatif, ada kebarangkalian label tersebut terbawa-bawa dan memberikan expectation yang kurang kepada murid.

Si kecil akan rebel di dalam kelas kerana terus-terusan mereka dilabel dengan benda yang negatif.

Guru satu hal. Ibu bapa pun satu hal.

Melabel Boleh Menjadi Perkara Positif

Menurut Alagammai, seorang pakar terapi pendidikan dan kesihatan mental, melabel boleh menjadi sesuatu yang baik. Walaubagaimanapun, melabel dengan perkataan yang buruk atau bahaya berbanding yang baik adalah sesuatu yang zalim. Lagi menzalimkan adalah jika kita bagitahu orang lain tentang label yang digunakan.

Jika label buruk digunakan secara persisten, ia akan mengganggu emosi dan sifat daya saing anak-anak dan menjurus ke arah masalah mental.

Apa Perlu Ibu Bapa Lakukan?

1. Terangkan keadaan yang berlaku, bukan fokus sifat anak-anak

Contohnya, jika si kecil memecahkan pinggan kita akan terpacul “Adik ini selalu sangat tak berjaga-jaga. Semalam pecahkan pinggan. Minggu lepas pecahkan minggu. Setiap masa nak pecahkan pinggan kenapa.”

Ibu bapa boleh tukar kepada, “Adik tak berjaga-jaga hari ini. Sebab tak pegang betul-betul, pinggan dah pecah.”

Elakkan menggunapakai perkataan ‘selalu’. Fokus apa yang sedang terjadi. Tak perlu mengungkit cerita lama. Perkataan ‘selalu’ menunjukkan tingkahlaku yang dah lepas-lepas.

2. Label juga boleh jadi sesuatu yang tricky

Ada juga ibu bapa yang kerap memanggil anak-anak dengan panggilan ‘brilliant‘. Hanya satu patah perkataan. Kanak-kanak akan berasa tertekan untuk menjadi yang paling top setiap masa. Di sini, kita panggil sebagai ‘overestimate’ kelebihan seseorang.

Boleh tukar kepada, “Ibu sangat bangga tengok adik buat latihan untuk exam esok.” Pujian yang sama. Tetapi, mampu menghilangkan rasa tekanan anak-anak.

Senang cerita, tak perlu nak label-label

Label yang diberikan berbeza dari orang yang memberi dan orang yang menerima. Ia sesuatu yang subjektif. “Kamu ini tak pandailah.” Persoalannya, nak pandai bagaimana lagi? Tiada indikator yang tepat untuk menjadi pandai.

Maka, ia adalah strategi yang sangat tidak efektif untuk membina jati diri atau tingkah laku. Apatah lagi untuk mewujudkan motivasi.

Kesalahan Interaksi Dengan Kanak-Kanak

kesalahan interaksi dengan kanak-kanak

Ketika anak sudah mula mampu memberikan reaksi seawal umur 2-3 bulan, itulah masa yang sangat dirindui para ibu bapa. Menjelang anak mula mengeluarkan perkataan pertama seawal umur 12 bulan, ibu bapa sudah perlu untuk berinteraksi dengan anak dengan lebih kerap. Namun, tahukah anda, terdapat beberapa kesalahan interaksi dengan kanak-kanak yang kerap ibu bapa lakukan?

Kesalahan Interaksi Dengan Kanak-kanak

Setakat ini, melalui pemerhatian saya kepada interaksi antara ibu bapa dan anak, terdapat satu perkara yang hampir semua ibu bapa amalkan. Mungkin ini adalah pengaruh budaya di Asia yang dibesarkan dalam budaya mementingkan akademik dari usia kecil serta budaya pentaksiran melalui peperiksaan.

Apakah kesalahan interaksi dengan kanak-kanak tersebut?

1. Bertanya TERLALU BANYAK soalan kepada anak tersebut.

Malah, soalan yang diajukan itu juga seolah-olah ingin menguji keupayaan anak. (sounds familiar?)

Contoh:

  • Tengok ni ada berapa buah? Cuba kira? Berapa?
  • Warna apa ni dik?
  • Huruf apa ni? Nombor apa?
  • Apa ni?

Anak: krik krik

Akhirnya, mak dan ayah yang menjawab soalan sendiri.

2. Memberi Arahan yang Terlalu Berstruktur Semasa Bermain

Contohnya:

  • Buat macam ni, masuk dalam ni, 
  • Ambil tu, letak sini, yang ni dulu.

Tetapi, tanpa disedari, soalan-soalan beginilah yang menyebabkan anak-anak semakin menjauhi kita ketika bermain.

Mari kita cuba letakkan diri kita dari kaca mata anak-anak.

Katakanlah isteri atau suami kita asyik bertanya soalan yang spesifik, atau sesuatu arahan yang tidak difahami, kita pula tidah tahu jawapannya, sebaliknya yang bertanya bertalu-talu memberikan soalan atau arahan, apakah perasaan kita?

Rimas? Marah? Tertekan? Rasa mahu larikan diri jauh-jauh?

Oleh sebab ini bukanlah suatu interaksi yang efektif, kita cenderung untuk menjauhkan diri daripada komunikasi sebegini. Begitulah juga dengan anak-anak kecil.

Apa yang Ibu Bapa Perlu Lakukan?

Ibu bapa perlulah menjadi pendengar dan pemerhati yang baik. Tunggu dan ikut rentak anak. Bukannya mengharap anak mengikut rentak kita.

Aktiviti Bersama Anak Kecil: Tips Untuk Ibu Bapa

aktiviti bersama anak kecil

Kami sering ditanya tentang tips melakukan aktiviti bersama anak kecil, sejak lahir oleh ibu bapa. Di sini kami kongsikan beberapa aktiviti dan tips bagi meningkatkan interaksi ibu bapa bersama anak dan seterusnya membantu perkembangan sosial, emosi dan bahasa komunikasi anak

Gunakan Aktiviti Harian untuk Tingkatkan Hubungan Ibu-Anak atau Ayah-Anak

Kadang-kadang, ibu bapa terlalu memikirkan aktiviti-aktiviti khusus atau istimewa untuk mengisi masa anak. Tetapi, tahukah anda, sebagai anak-anak, mereka sudah cukup rasa ouas hati apabila dapat meluangkan masa bersama ibu bapa melakukan aktiviti-aktiviti rutin sahaja.

Contoh waktu-waktu tersebut adalah :

  • waktu feeding (makan dan minum)
  • mandi
  • pakai lampin
  • pakai baju
  • mainan sosial
  • nyanyian dan alunan zikir
  • berkongsi buku
  • bermain alat mainan
  • aktiviti luar, beriadah dan sight seeing (umur 5-6 bulan ke atas)

Sebenarnya, senarai di atas adalah antara aktiviti harian yang biasa ibu bapa lakukan bersama anak. Sekiranya ibu bapa bijak untuk mengambil kesempatan, waktu-waktu aktiviti rutin ini boleh digunakan untuk menjalankan aktiviti bersama anak kecil di samping menjadikan mereka terisi dan gembira.

Tips Menjalankan Aktiviti Bersama Anak Kecil

1. Bercakap bersama anak, terangkan kepada anak apa yang anda sedang lakukan dalam rutin harian bersama anak. 

Sebagai contoh, jika sedang memakaikan baju untuk anak berumur 0- 12 bulan, ibu bapa boleh berkomunikasi dengan anak seperti berikut:

“sekarang tengah pakai baju, bismillah, masuk kepala, cak, masuk tangan kanan masuk tangan kiri , dah siap.”

2. Guna nada yang menyeronokkan ataupun alunan lagu di samping bunyi-bunyi yang menyeronokkan.

Sebagai contoh, main agah bayi dengan bunyi-bunyi berikut:
Bunyi suku kata “bbbaaamm baammm mmmaaanmmaaa”
Bunyi bermakna: “vrrooomm, moo, meow, chipchip”
Bunyi yang ada menunjukkan perasaan: “weeee… wow…. woooooo…”

3. Berkomunikasi Disertakan ‘Gestures’: Sambil Kita Bercakap, Tunjukkanlah Gestures/gaya/cara/ expression Supaya Anak Lebih Faham Apa Dimaksudkan

Untuk memahami sesuatu perkataan kita perlu kaitkan dengan visual (dgn menunjuk sesuatu), contohnya:

Jika saya ingin ajar satu perkataan daripada bahasa alien saya (rekaan): ‘jukait’

Kalau kita mendengar secara lisan (verbal) sahaja, sampai ke sudah kita tidak akan faham ‘jukait’ tu apa.

Tapi bila saya tunjukkan jukait=🚗

Anda akan faham owwwh ‘jukait’ itu bermaksud kereta.

Jadi, jika saya cakap saya naik jukait, anda akan tahu maksud saya adalah saya naik kereta.

4. Tunggu: Tunggu Sebentar Sehingga 5-10 Saat Supaya Interaksi Kita Dengan Anak Menjadi Dua Hala

Perkara yang paling utama, elakkan supaya ibu bapa yang dominate interaksi tersebut. Sebaliknya, selepas ibu bapa berkata sesuatu, tunggu sehingga 10 saat bagi anak kecil itu bertindak balas.

Contoh:

Ibu: “mmmmmaaaaaaaaa maaaaa”

Anak.: senyum… gelak dan hasilkan bunyi mmmmmm

Lepas tu barulah kembali giliran ibu: senyum dan ulang lagi.

5. Kekerapan Aktiviti dan Teknik yang dilakukan Bersama Anak Akan Memberi Impak yang Besar kepada Perkembangan Anak.

Renungan

Daripada senarai aktiviti cadangan di atas, berapa banyak aktiviti yang ibu bapa sendiri lakukan bersama anak-anak? Adakah ibu bapa sekadar berharap agar pengasuh yang melakukannya? Adakah ibu bapa menggunakan masa-masa sebegini sebaiknya, atau ianya sekadar rutin yang ingin ditamatkan dengan cepat?