Tips Tambah Susu Badan

tips tambah susu badan

Menyusukan anak merupakan satu anugerah buat ibu. Setiap ibu pasti menginginkan penyusuan anak yang lengkap, seboleh-bolehnya sehingga anak 2 tahun. Namun, ibu menyusu kerap kali berhadapan dengan cabaran untuk memberikan komitmen 2 tahun untuk menyusukan anak. Tidak dinafikan, terdapat sebilangan ibu yang tidak dapat menyusukan anak penuh kerana berhadapan cabaran yang tidak dapat dielakkan. Namun, usaha, komitmen dan pengorbanan diperlukan oleh ibu dan suami untuk menjayakan penyusuan anak anda. Di sini kami menyenaraikan 7 tips tambah susu badan, sebagai rujukan dan boleh diaplikasi, jika sesuai.

Tips Tambah Susu Badan

1. Susukan anak / pam dengan kerap

Semakin kerap payudara dikosongkan, semakin banyak susu dihasilkan. Penyusuan atau pengepaman kerap akan memberi isyarat kepada badan bahawa bayi sedang lapar, seterusnya payudara akan menghasilkan lebih banyak susu.

Bagi ibu bekerja, jangan jadikan payudara bengkak sebagai kayu ukur untuk mengepam sebaliknya pastikan anda mengikut jadual pam yang konsisten, sekurang-kurangnya mengepam setiap 4 jam.

2. Melakukan Power Pump secara rutin

Dicadangkan melakukan power pump 2 kali seminggu. Antara teknik yang dicadangkan adalah menjalankan rutin mengepam 10 minit, rehat 10 minit yang diulang 3 kali (jumlah masa: 60 minit). Disebabkan memerlukan jumlah masa yang panjang setiap sesi, dicadangkan dilakukan pada awal pagi ketika bayi tidur lebih lama dan tidak menyusu. Perkara ini dapat membantu meningkatkan penghasilan susu ibu.

3. Amalkan makanan milk booster

Jika anda mencari di Google mengenai makanan ‘milk booster’, anda akan mendapati tidak kurang 100 cadangan makanan untuk diambil. Perlu diingat, setiap orang mempunyai fisiologi yang berbeza, jadi, reaksi terhadap makanan berbeza juga adalah berlainan. Teruskan mencuba makanan-makanan yang dicadangkan dan perhatikan jika anak anda mempunyai alahan. Sila rujuk pakar perubatan dengan segera jika alahan terjadi.

4. Minum air secukupnya

Susu terdiri daripada lebih 90% air. Oleh itu, adalah satu keperluan untuk ibu menyusu meminum cukup air untuk memastikan kesihatan yang optimum untuk menyusukan anak.

5. Amalkan marmet selepas menyusu / mengepam

Marmet merupakan satu teknik mengosongkan payudara secara manual menggunakan tangan. Selepas menyusukan anak atau mengepam susu, anda digalakkan untuk mengurut payudara menggunakan tangan bagi mengeluarkan saki baki susu yang tinggal agar payudara benar-benar kosong seterusnya merangsang pengeluaran susu yang lebih banyak secara berterusan.

Untuk teknik urutan yang betul, anda boleh dapati di laman-laman web penyusuan dan breastfeeding support group.

6. Amalkan penyusuan serentak (tandem nursing)

Jika anda mempunyai hanya seorang bayi untuk disusukan dalam satu-satu masa, semasa anda menyusukan bayi, anda digalakkan untuk turut mengepam payudara sebelah lagi. Kajian daripada Prime et. al. (2012) menunjukkan bahawa penyusuan serentak berpotensi mengoptimakan kadar penghasilan susu ibu sehingga 18%.

Ini juga bermaksud, double breast pump adalah lebih baik untuk menambahkan susu ibu berbanding single breast pump.

7. Sentiasa berfikiran positif

Setiap ibu yang menyusu perlu sentiasa berfikiran positif dan yakin bahawa dia mampu untuk menyusukan anaknya sehingga umur 2 tahun. Ibu menyusu juga perlu dalam keadaan tenang dan gembira bagi membantu penghasilan susu yang mencukupi. Di sinilah peranan penting suami untuk menemankan isteri serta berborak perkara yang menggembirakan.

Kesimpulan

Sekadar mengetahui tips tambah susu badan tidaklah mencukupi andai tiada kekuatan mental dan fizikal bagi melaksanakannya. Justeru, sokongan semua pihak khususnya pasangan adalah penting bagi memastikan kejayaan perjalanan menyusu seorang ibu.

Cara Hilangkan Bengkak Susu di Rumah

cara hilangkan bengkak susu

Bagi ibu-ibu yang mempunyai pengalaman menyusukan anak dengan susu badan, sudah pasti akan sedikit sebanyak akan mengalami sakit bengkak susu atau mastitis. Kami kongsikan di sini mengenai punca bengkak susu dan beberapa cara hilangkan bengkak susu di rumah.

Bengkak Susu (Mastitis)

Bengkak susu adalah keadaan di mana wanita mengalami kesakitan diakibatkan radang (inflammation) pada payudara. Ini biasanya berlaku kepada para ibu yang menyusukan anak, terutamanya ketika bulan pertama selepas kelahiran. Walau bagaimanapun, bengkak susu masih boleh terjadi kepada para ibu pada bila-bila masa dalam tempoh penyusuan.

Antara tanda-tanda dan gejala bengkak susu adalah sebahagian payudara yang sakit itu kelihatan merah, terasa bengkak, terasa panas atau pedih apabila disentuh. Bengkak susu biasanya hanya terjadi kepada satu payudara pada satu masa.

Punca Bengkak Susu

Selepas melahirkan anak, badan para ibu akan bekerja keras bagi memberi isyarat kepada payudara untuk menghasilkan titisan susu buat anak yang tersayang. Anak yang baru lahir pula (biasanya 1-6 hari kelahiran) minum dalam kuantiti sedikit, tetapi kerap. Ada ibu yang menghasilkan lebihan susu dalam payudara sehingga mengakibatkan payudara menjadi keras dan bengkak.

Ada juga ibu yang mempunyai masalah saluran susu dalam payudara yang tersumbat. Penghasilan susu dalam kuantiti yang banyak akan memberikan tekanan kepada kawasan tersumbat ini. Ibarat empangan yang ditahan airnya pada waktu hujan, bukankah empangan itu terpaksa menanggung bebanan yang sangat berat jika tidak dilepaskan?

Cara Hilangkan Bengkak Susu di Rumah

Secara amnya, bengkak susu boleh dihilangkan di rumah sahaja. Sangat jarang bengkak susu perlu dirujuk ke hospital, kecuali jika terdapat tanda-tanda jangkitan pada payudara, atau anda mengesyaki ketulan yang bukan terhasil daripada susu.

1. Masa untuk Berehat

Anda telah menggunakan banyak tenaga mengandung, bersalin dan menyusukan anak. Inilah peluang untuk anda berehat. Minta bantuan saudara mara untuk menguruskan urusan rumah tangga. Fokus untuk mengurangkan kesakitan payudara anda kerana perasaan tertekan boleh mempengaruhi pengeluaran susu.

2. Lebih Kerap Menyusukan Anak atau Mengepam Susu

Sepertimana diterangkan di atas, punca bengkak susu lazimnya adalah kerana pengumpulan susu yang banyak di dalam payudara. Cara paling berkesan untuk mengosongkan susu dalam payudara adalah hisapan seorang bayi. Namun, andai bayi anda sudah kenyang dan anda masih merasakan kesakitan bengkak susu, anda boleh cuba mengepam susu bagi memastikan payudara benar-benar kosong.

3. Tuam Payudara Anda

Tuamkan payudara anda dengan ice pack sejuk di kawasan yang sakit bagi meredakan sedikit kesakitan yang dirasai. Elakkan mengenakan ice pack beku terus ke kulit payudara kerana ini boleh mengakibatkan kecederaan di payudara. Gunakan tuaman panas sebelum sesi penyusuan bagi membantu melancarkan aliran susu.

4. Mengurut Payudara

Urut payudara dengan perlahan dengan menekan kawasan yang sakit, tolak tangan ke arah puting payudara, kemudian, dari puting, tolak ke arah ketiak. Ulang teknik ini beberapa kali dengan berhati-hati dan tidak terlalu kuat.

5. Ubat Tahan Sakit

Jika semua teknik di atas masih tidak boleh mengurangkan kesakitan bengkak susu anda, anda boleh menggunakan ubat tahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen sebagai cara hilangkan bengkak susu dan kesakitan daripadanya.

Rujukan: BabyCenter

Jika anda merasakan kepedihan berterusan yang sukar dibendung atau tanda-tanda jangkitan, segera dapatkan rawatan daripada pakar perubatan.