Batuk Kokol atau Pertussis

Mengenai Batuk Kokol atau Pertussis

Batuk kokol adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria pertussis (Bordetella pertusis). Bakteria ini akan menjangkiti kerongkong dan saluran pernafasan. Akibatnya adalah batuk yang teruk, kerap muntah dan keadaan ini mungkin berlarutan sehingga 3 bulan. Masyarakat melayu satu ketika dahulu menamakan jangkitan bakteria pertussis (batuk kokol atau pertussis) ini sebagai Batuk Kokol Seratus Hari.

Simptom Jangkitan Pertussis

Sifat dan bunyi batuk kanak-kanak itu yang menyebabkan nama batuk kokol (whooping cough) dipilih. Anak-anak yang dijangkiti bakteria bahaya itu akan mengalami batuk yang teruk serta berpanjangan. Batuk yang menyeksakan itu boleh berlaku hingga beberapa minggu dan bulan. Secara klasiknya batuk itu dikenali sebagai batuk seratus hari, kerana kanak-kanak akan batuk sehingga mencecah seratus hari lamanya.[1] Hasil dari jangkitan kuman tersebut yang menyerang rongga pernafasan dan paru-paru, si pengidap akan keletihan serta tercungap-cungap untuk menarik nafas. Amat menyeksakan jika kita melihat sendiri tanda-tanda yang kanak-kanak itu alami.

Akhirnya, jika tidak dirawat, kematian boleh menjemput. Kematian akibat daripada penyakit ini kerap berlaku di kalangan bayi berumur di bawah 6 bulan. Komplikasi pertussis yang teruk adalah sawan tarik, pendarahan dalam mata, kerosakan atau radang paru-paru dan kerosakan atau radang selaput otak (meningitis). Pertubuhan Kesihatan Sedunia melapurkan kes kematian akibat serangan bakteria batu kokol ini mencecah 200,000 hingga 300,000 setiap tahun.

Batuk Kokol atau Pertussis: Jangan Ambil Mudah

Adalah dianggarkan kes batuk kokol ini melibatkan 20 juta kes seluruh dunia. Menyedihkan juga kerana 90% dari kes tersebut adalah berlaku di negara-negara yang sedang membangun. Sistem kesihatan negara-negara berkenaan masih lagi diperingkat minima dan liputan pemberian vaksin juga tidak memberangsangkan.

Malaysia juga tidak terlepas dari kejadian batuk kokol ini. Data yang diperolehi dari statistik WHO mendapati kebanyakan negara-negara yang mempunyai liputan vaksin DPT yang rendah, kes Batuk Kokol meningkat. Jika dilihat kes bermula tahun 2013 hingga 2017, peningkatan kes berkali ganda.[2] Peningkatan ini setimbal dengan gerakan penolakan vaksin disebahagian masyarakat. Penolakan vaksin juga sejak dari tahun 2013 hingga sekarang, meningkat berkali ganda. Alasan yang sudah pun diberi jawapan tuntas oleh para pakar dan ahli agama mereka ketepikan. Mungkin terdapat agenda tertentu yang mereka perjuangkan dan mereka lebih mementingkan diri sendiri dari kemerbahayaan yang boleh melemahkan ummat.

batuk kokol atau pertussis

Cara Mengelak Jangkitan Pertussis

Pertussis boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi. Ia diberi kepada kanak-kanak pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Apabila seseorang kanak-kanak telah mendapat pelalian pertussis yang lengkap dijangkiti kuman ini, mereka hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi. Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95% pada setiap masa.

Liputan imunisasi yang tinggi ini dapat memberikan perlindungan kepada komuniti melalui kesan imuniti kelompok (herd immunity). Justeru, ibu bapa bertanggung jawab memastikan anak-anak mereka mendapat pelalian pertussis yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan. Perkhidmatan imunisasi bagi kanak-kanak ini boleh diperolehi di fasiliti kesihatan Kerajaan dan swasta.[3]

Remaja dan orang dewasa yang bergejala perlu sentiasa mengamalkan adab batuk dan bersin (menutup mulut) serta mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain. Mereka yang bergejala juga dinasihatkan supaya tidak mencium bayi kerana bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis. Segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala pertussis.

Pautan:
[1] Pertussis/Whooping Cough. MyHealth Portal.http://www.myhealth.gov.my/en/pertussis-whooping-cough/
[2] Pertussis Outbreak Trends.https://www.cdc.gov/pertussis/outbreaks/trends.html
[3] Kenyataan Akbar KPK. https://kpkesihatan.com/…/kenyataan-akhbar-kpk-5-ogos-2017…/

Jangkitan Rotavirus Pada Kanak-kanak

Jangkitan rotavirus pada kanak-kanak merupakan satu insiden yang biasa berlaku. Jangkitan rotavirus merupakan antara punca utama terjadinya cirit-birit di kalangan kanak-kanak. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi keperluan untuk sedikit sebanyak mengetahui mengenai virus ini serta bagaimana untuk mengubatinya.

Mengenai Rotavirus

Rotavirus merupakan nama yang diberi kepada satu jenis virus yang biasa merebak dalam kalangan manusia. Jika dilihat menerusi mikroskop, rotavitus ini kelihatan berbentuk bulat seperti bola. Malah, perkataan “rota” itu sendiri diambil daripada bahasa Latin yang bermaksud roda atau tayar.

Virus ini bertindak dengan mengakibatkan radang dalam dinding perut dan usus. Ianya berpotensi untuk menjangkiti bayi, anak kecil mahupun orang dewasa. 

Buat masa ini, terdapat rawatan moden bagi melegakan simptom jangkitan ini sahaja. Tiada ubat-ubatan yang diketahui mampu terus melawan virus ini.

Bagaimana Rotavirus Merebak

Rotavirus boleh disebarkan melalui najis orang yang dijangkiti. Misalnya, jika anak anda mempunyai rotavirus, najis mereka akan mempunyai virus tersebut. Jika ibu bapa yang memegang najis tersebut tidak membersihkan tangan dengan teliti lalu melakukan aktiviti lain di rumah, ada kemungkinan virus tersebut disebarkan di permukaan lain di rumah yang seterusnya boleh dibawa oleh mana-mana individu lain yang memegang permukaan tersebut.

Perkara ini lebih mudah terjadi di pusat jagaan kanak-kanak atau nurseri di mana terdapat ramai kanak-kanak daripada keluarga berbeza. Jika salah seorang kanak-kanak dijangkiti, amat sukar untuk memastikan kebersihan premis tersebut daripada rotavirus.

Rotavirus mengambil masa selama lebih kurang 10 hari selepas jangkitan, sebelum simptom diketahui. 

Simptom Jangkitan Rotavirus

Simptom pertama biasanya adalah demam panas diikuti sakit perut dan muntah-muntah. Bagi anak-anak kecil yang belum mampu berkata-kata, ibu bapa perlu lebih peka dalam mengenalpasti anak sedang sakit perut.

Apabila demam semakin berkurang, ini akan disusuli dengan siri-siri cirit birit. Anak anda mungkin akan membuang air besar selang 1 jam. Najisnya pula berair dan mengalir. 

Dalam kes-kes yang serius, terutamanya pada anak-anak kecil, kemungkinan anak-anak akan kelihatan lesu (lethargy) dan hilang selera makan. Pada tempoh ini, anak berkemungkinan menghadapi dehydration.

Bila Perlu Bertemu Doktor

Biasanya, jika anda terkena jangkitan rotavirus, badan akan melawan sendiri penyakit ini. Biasanya, dalam tempoh seminggu, simptom akan berkurangan beransur-ansur.

Namun, jika anak-anak kecil yang dijangkiti, yang paling dirisaukan adalah jika mereka menghadapi dehydration. Badan yang tidak selesa mungkin membuatkan mereka tidak mahu makan atau minum. 

Jika anak anda kurang makan atau minum, kelihatan tidak bermaya dan tidak kencing selama 12 jam, terus bawa ke hospital berhampiran bagi pegawai perubatan memasukkan kembali cecair melalui IV drip. 

Kredit post asal:

Mengatasi Sembelit Anak Kecil

mengatasi sembelit anak

Anak anda sudah beberapa hari tidak membuang air besar. Anak kecil anda sudah mula meragam. Sebagai ibu bapa, sudah tentu perkara ini meresahkan hati. Ini tanda anak kecil anda sedang menghadapi sembelit. Kami akan cuba berkongsi tips untuk mengatasi sembelit anak kecil.

Tanda-Tanda Sembelit

Sebagai orang dewasa, ktia sudah tentu mempunyai pengalaman berhadapan dengan sembelit. Namun, bagi anak-anak kecil, terutamanya yang belum boleh berkata-kata, perkara ini sukar untuk diluahkan mereka. Ibu bapa perlu peka dengan tanda-tanda berikut yang menunjukkan bahawa anak kecil anda sedang menghadapi sembelit.

  1. Tanda calitan najis pada lampin anak, tetapi tiada atau sangat sedikit najis yang keluar;
  2. Najis yang keluar keras serta mempunyai darah;
  3. Anak kelihatan meragam dan tidak selesa;
  4. Anak kelihatan meneran dengan kuat tetapi tiada najis;
  5. Perut anak mengeras

Jika anak-anak anda mempunyai tanda-tanda berikut, jangan panik kerana kebiasaannya sembelit boleh diuruskan di rumah dengan pemantauan teliti ibu bapa

Tips Mengatasi Sembelit Anak di Rumah

Ibu bapa boleh mencuba tips-tips berikut bagi mengatasi sembelit anak di rumah:

(1) Hentikan memberi makanan yang disyaki mengakibatkan sembelit

Cuba senaraikan kembali apa makanan yang anda baru perkenalkan kepada anak anda? Mungkin anak anda masih kurang bersedia memakan makanan tersebut.

Antara makanan yang boleh mengakibatkan sembelit pada anak kecil termasuklah pisang, epal, roti putih dan nasi putih. Ada kalanya, susu formula yang tidak sesuai juga boleh mengakibatkan masalah sembelit, mungkin anak memunyai masalah ‘lactose intolerant’. Penukaran susu formula bayi mungkin boleh membantu mengurangkan masalah ini.

(2) Banyakkan pengambilan air tanpa gula

Punca biasa najis keras yang mengakibatkan sembelit pada kanak-kanak adalah kerana kerasnya najis tersebut yang menyukarkan proses nyahtinja. Keadaan ini boleh jadi kerana anak kekurangan air, akibat terlalu banyak minum air manis atau tidak langsung minum air. Banyakkan memberi air kepada anak dalam diet mereka atau jika terpaksa, kurangkan tahap kemanisan air minuman yang diberi kepada anak-anak.

(3) Berikan makanan yang membantu melembutkan najis

Antara makanan yang dicadangkan untuk membantu mengurangkan sembelit anak adalah nuah-buahan seperti prun, pear dan mangga. Buah-buahan ini mempunyai kadar sorbitol yang tinggi yang membantu mempermudahkan pencernaan. Selain itu, banyakkan juga beri makanan berasaskan kacang seperti pea, bijirin dan roti wholemeal. 

mengatasi sembelit anak

(4) Galakkan anak untuk bergerak

Pergerakan anak boleh membantu menggerakkan makanan dalam usus untuk pencernaan yang lebih baik. Ibu bapa juga boleh membantu anak dengan melakukan senaman mengayuh basikal pada kaki anak. Urutan di bahagian abdomen juga boleh membantu pergerakan najis keluar.

Apa Ibu Bapa Perlu Lakukan Jika Anak Dijangkiti HFMD?

jika anak dijangkiti hfmd

Dalam artikel yang lalu, kami pernah berkongsikan cara-cara mencegah anak daripada dijangkiti HFMD. Namun, malang tidak berbau, timbul persoalan, bagaimana pula jika anak dijangkiti HFMD dan disahkan oleh pegawai perubatan?

Mengenali Tanda-tanda Jangkitan HFMD

Virus HFMD sebenarnya virus yang tidak membawa maut. Kes-kes yang membawa kematian adalah kes terpencil apabila berlaku wabak yang besar. Itupun kematian bukan akibat dari virus itu secara langsung, tetapi ianya adalah komplikasi teruk jika mangsa tidak dirawat sebaik mungkin.

Terdapat dua virus yang punca kepada HFMD; Coxsackie Virus dan Enterovirus. Virus ini boleh berada dipersekitaran dan biasanya menjangkiti kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. Oleh kerana sistem pertahanan badan kanak-kanak masih tidak kuat, virus ini boleh menyebabkan tanda-tanda terhadap mangsa. Antara tanda-tanda serangan virus itu adalah seperti:

i) Demam
ii) Kurang selera makan
iii) Lepuh dalam rongga mulut (ulcer) dan sakit kerongkong.
iv) Letih dan tidak bermaya.
v) Ruam bintik merah di tapak tangan, kaki dan mulut.

Bintik merah akan nampak makin jelas setelah hari kedua selepas demam jika anak dijangkiti HFMD. Ketika ini lah ibubapa penjaga kanak-kanak mula panik dan mencapai pelbagai rawatan demi melihat anak mereka sembuh segera. Jika maklumat yang tidak tepat mereka perolehi dari dunia maya, maka akan berhabis ribuan ringgit membeli produk-produk sampah.

Apa Ibu Bapa Perlu Lakukan Jika Anak Dijangkiti HFMD?

1.  Jangan benarkan anak anda dipeluk cium sembarangan. Walaupun arahan ini agak zalim bagi saudara mara yang hadir menziarahi anda. Namun tempoh penting ini patut diambil serius supaya virus tidak merebak.

2. Didik diri dan keluarga supaya menjaga kebersihan persekitaran, rumah dan semua perkakas yang terdedah. Virus HFMD boleh sahaja bertenggek di mana-mana sahaja dalam persekitaran dalam tempoh tertentu. Dengan menjaga kebersihan diri, amalan membasuh tangan dengan sempurna dan menggunakan pelekap muka jika perlu terlalulah amat berguna pada masa ini.

Semburan dari produk tertentu tidak membantu, kerana permukaan yang kering dan bersih amat diperlukan bagi menghalang virus berjangkit. Penggunaan antiseptik boleh digunakan pada ketika memegang anak anda atau sebelum/selepas menyentuh perkakasan rumah.

3. Tahan diri anda dan anak-anak untuk bersiar-siar ke tempat yang ramai orang seperti pasar raya, pasar malam dan seumpamanya. Ditempat sebegini pelbagai jenis manusia wujud dengan pelbagai kuman hinggap bukan semata-mata virus HFMD. Jika terdesak sangat untuk membeli belah barang keperluan, serahkan kepada ketua keluarga untuk membeli. Tidak perlulah kesemua anak-anak kita yang masih kecil berasak-asak memenuhkan pasaraya. Virus HFMD senang merebak apabila orang yang dijangkiti atau pembawa virus itu batuk, bersin, bernafas depan muka dan bersentuhan dengan kita.

iv) Dapatkan rawatan segera untuk kurangkan demam anak anda. Pastikan alat pengukur suhu di simpan dalam rumah. Senantiasalah periksa sendiri suhu anak anda. Jika demam tinggi melebihi 38 C atau demam berlarutan melebihi lima hari, sila jumpa segera doktor anda.

Pastikan anak anda minum air secukupnya, makan mengikut jizi yang sepadan. Jika kelihatan tidak bermaya atau kelakuan/perangai anak lain macam, sila ke hospital segera. Senantiasalah bersama anak anda dalam tempoh tersebut, jangan asyik bermain wasap dan leka dengan facebook.

Mencegah SIDS Pada Kanak-Kanak

mencegah sids

Banyak terjadi keadaan di mana anak kecil tiba-tiba dijumpai maut tanpa sebarang sebab yang jelas. Ini lebih kerap berlaku pada bayi berumur bawah 1 tahun. Situasi kematian mengejut ini dinamakan Sudden Infant Death Syndrome (“SIDS”). Sebagai ibu bapa kepada anak kecil, seharusnya kita mengetahui beberapa teknik bagi membantu mencegah SIDS pada kanak-kanak.

Punca Berlakunya SIDS

Menurut MayoClinic, pakar kanak-kanak masih belum dapat memahami sepenuhnya punca sebenar yang mengakibatkan SIDS. Namun, kajian menunjukkan kemungkinan SIDS berpunca daripada kegagalan fungsi bahagian dalam otak yang mengawal pernafasan kanak-kanak tersebut.

Namun, pakar perubatan telah mengenalpasti beberapa faktor yang mendorong berlakunya SIDS.

1. Faktor Fizikal Bayi

Sesetengah bayi lahir dengan beberapa kegagalan fungsi otak. SIDS boleh berlaku apabila bahagian fungsi otak yang mengawal pernafasan tidak boleh berfungsi dengan baik dan seterusnya mengakibatkan bayi gagal bernafas dengan betul dan boleh menemui ajal ketika tidur.

Bayi yang dilahirkan pra-matang atau kurang berat badan juga lebih berpotensi menghadapi SIDS menurut satu lagi kajian. (Baca Lanjut: NCBI)

2. Faktor Persekitaran 

Bayi yang tidur mengiring atau meniarap lebih berpotensi berhadapan dengan SIDS. Apabila bayi dalam kedudukan mengiring atau meniarap, bayi lebih berisiko mengalami kesukaran bernafas. Lebih memburukkan keadaan apabila bayi ditidurkan meniarap di atas permukaan yang tersangat lembut sehingga muka bayi boleh tersembam dan tenggelah dalam permukaan katil atau tilam tersebut.

Faktor lain yang boleh meningkatkan risiko kematian SIDS juga adalah sikap ibu bapa yang suka tidur memeluk anak kecil. Dikhuatiri ketika tidur, kita tidak boleh mengawal badan kita yang seterusnya dikhuatiri akan menutupi salur pernafasan bayi.

Teknik Mencegah SIDS

Pakar perubatan telah menggariskan beberapa tatacara yang boleh diamalkan ibu bapa bagi mengurangkan risiko terjadinya SIDS.

1. Mengembalikan Tatacara Tidur Yang Tepat

Bayi perlulah ditidurkan secara menelentang (muka dan mulut ke atas) dan ditidurkan atas tilam nipis yang tidak terlalu lembut. Bayi juga dicadangkan untuk tidur berseorangan di katil yang berasingan dengan ibu bapa. Pastikan pengasuh atau orang gaji yang membantu anda turut melakukan perkara yang sama.

Cabaran utama di Malaysia ini adalah masih ramai yang berpegang dengan kepercayaan turun temurun bahawa tidur meniarap itu adalah baik untuk bayi tidur lena, sedangkan ini berpotensi meningkatkan risiko SIDS pada bayi. Anda sebagai ibu bapa perlu tegas dan memastikan cara tidur anak-anak yang betul dilaksanakan.

2. Minimakan barangan atau perkakasan di katil bayi

Bayi sebenarnya tidak memerlukan banyak bantal seperti bantal peluk, bantal kaki dan sebagainya. Malah, memenuhi katil bayi dengan banyak bantal dan kusyen ini lebih membahayakan anak kerana pergerakan bantal ini boleh menutupi muka dan salur pernafasan anak kecil ketika tidur. Anak kecil tidak mampu memberikan reaksi bahaya lagi jika mereka dalam kecemasan.

3. Menyusukan Badan Bayi Anda

Kajian mendapati ibu yang menyusukan anaknya dengan susu badan (secara terus) berpotensi mengurangkan risiko SIDS pada bayi. Walaupun masih belum dapat diterangkan lagi mengapa secara saintifik, namun, pemerhatian mendapati pemberian susu ibu mengurangkan kadar kematian SIDS. (Baca: USAToday)

4. Gunakan Puting (Pacifier)

Saintis juga mencadangkan penggunaan puting (pacifier) untuk bayi hisap ketika tidur boleh mengurangkan risiko kematian disebabkan SIDS. Pergerakan mulut bayi yang menghisap ini dikatakan membolehkan ruang udara bayi sentiasa terbuka walaupun ketika tidur.

Kesimpulan

SIDS adalah satu kematian kanak-kanak yang boleh dielakkan. Ketahui cara mencegah SIDS supaya orang-orang yang kita sayangi dapat dilindungi.

Cara Mengelakkan Jangkitan HFMD Kepada Anak-Anak

cara mengelakkan jangkitan hfmd

Seminggu dua ini, heboh dan viral dibincangkan di media sosial mengenai penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (hand, foot and mouth disease – HFMD) di Malaysia. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi kewajipan bagi mengetahui cara mengelakkan jangkitan HFMD terutama kepada anak-anak kita.

Mengenali Penyakit HFMD

HFMD merupakan satu penyakit bawaan virus yang biasanya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, walaupun ada kalanya ia boleh menjangkiti kanak-kanak yang lebih besar dan orang dewasa. Kanak-kanak bawah 5 tahun lebih berpotensi dijangkiti penyakit ini kerana tubuh badan mereka masih belum mempunyai sistem pertahanan badan yang matang.

Secara umumnya, penyakit HFMD tidak mendatangkan bahaya kepada yang dijangkiti dan majoriti pesakit hanya perlu berehat di rumah dan akan sembuh selepas 7-10 hari.

Namun, bagi kanak-kanak kecil, jika dijangkiti, ibu bapa perlu memerhatikan dengan teliti keadaan anak. Malaysia menerima berita sedih apabila seorang kanak-kanak berumur 2 tahun disahkan maut kerana penyakit HFMD. Jika ibu bapa melihat anak-anak menjadi lemah dan tiada selera makan, jangan tangguh untuk kejarkan anak berjumpa dengan doktor, anak itu mungkin perlu bantuan dan rawatan rapi.

HFMD Di Malaysia

Status dan kes-kes HFMD di Malaysia sentiasa dipantau dan diberi kemaskini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Setakat 28 Julai 2018, KKM telah merekodkan 37,986 kes HFMD di seluruh Malaysia yang menyebabkan 539 premis tadika dan pra-sekolah diarahkan ditutup.

Terkini HFMD. Total 37,986 kes, 1,093 kes wabak, 539 premis ditutup tadika, pra sekolah, sekolah dan kelas9 sekolah…

Posted by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA on Jumaat, 27 Julai 2018

Cara Mengelakkan Jangkitan HFMD Kepada Anak-anak

Bagi mengelakkan jangkitan HFMD kepada anak-anak, berikut merupakan beberapa langkah yang perlu diambil ibu bapa berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pengalaman ibu bapa:-

1. Elakkan Membawa Anak ke Tempat-tempat Tumpuan Ramai

Ketika virus ini sedang berleluasa, elakkan untuk membawa anak-anak ke tempat tumpuan ramai jika tiada keperluan. Antara tempat-tempat yang berkemungkinan besar dicemari dengan virus HFMD adalah taman permainan awam, ruang permainan di pusat membeli belah, ruangan-ruangan tempat duduk awam dan pelbagai lagi.

Biarlah ibu bapa dikatakan terlebih melindungi anak dan kelihatan sedikit paranoid akibat menghalang anak-anak keluar seketika, daripada anak-anak menangung kesakitan dan tidak selesa badan dijangkiti HFMD.

2. Kerap Membersihkan Tangan Anak-anak di Tempat Awam

Jika terpaksa juga untuk keluar ke tempat awam, pastikan menjadi rutin agar tangan anak-anak lebih kerap dibersihkan. Basuh tangan anak-anak dengan air dan sabun selama sekurang-kurangnya 10 saat sebelum dibilas.

Bagi ibu bapa yang merasakan sukar untuk kerap ke tandas bersama anak-anak, boleh juga untuk membawa hand sanitizer di dalam beg atau poket anda. Selepas anak-anak memegang tempat-tempat awam, gunakan hand sanitizer ini pada tangan anak-anak. Hand sanitizer ini biasanya mudah didapati di kebanyakan farmasi.

3. Cuci Tempat Duduk Awam Dengan Anti-Bacterial Wipes

Jika anda terpaksa makan di luar, atau sekadar duduk di kawasan awam bersama anak kecil, jadikan kebiasaan untuk mengelap sedikit kawasan-kawasan yang berpotensi dipegang anak menggunakan anti-bacterial wipes. Antara kawasan yang berpotensi mempunyai virus ini adalah di kerusi bayi, meja makan dan kerusi awam.

4. Tidak Menghantar Anak-anak ke Taska yang Dilaporkan ada kes HFMD

Sentiasa dapatkan maklumat terkini status kesihatan anak-anak jagaan di nurseri anak anda. Di sini, walaupun nampak anda seperti menjaga tepi kain orang lain, tetapi, sebagai ibu bapa bertanggungjawab, anda perlu melakukannya dan tidak mempedulikan kata-kata orang. Jika terdapat simptom-simptom jangkitan sahaja pada anak jagaan nurseri, terus elakkan menghantar anak anda ke nurseri yang sama buat seminggu dua sehingga mendapat pengesahan daripada pengusaha nurseri bahawa tiada jangkitan lagi.

5. Kerap Membersihkan Mainan Anak-anak

Walaupun di rumah sendiri, jadikan kebiasaan untuk lebih kerap membersihkan mainan dan alatan yang digunakan anak-anak. Kadang-kadang, virus ini mungkin sahaja boleh disebarkan oleh tetamu yang datang menziarahi. Lebih baik berjaga-jaga daripada menanggung kesannya.

Kesimpulan

Penyakit HFMD setakat hari ini masih tidak mempunyai vaksin. Walaupun secara umumnya penyakit ini tidak berbahaya, tetapi, untuk kanak-kanak yang dijangkiti, ianya boleh mempengaruhi selera makan dan keselesaan mereka akibat ruam dan ‘blisters’ yang sangat gatal di kaki, tangan dan dalam mulut mereka.

Ibu bapa perlulah mengetahui cara mengelakkan jangkitan HFMD kepada anak-anak agar kita tidak menjadi ibu bapa yang terpaksa melihat anak kita terseksa akibat penyakit ini.