Cara Mengelakkan Jangkitan HFMD Kepada Anak-Anak

cara mengelakkan jangkitan hfmd

Seminggu dua ini, heboh dan viral dibincangkan di media sosial mengenai penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (hand, foot and mouth disease – HFMD) di Malaysia. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi kewajipan bagi mengetahui cara mengelakkan jangkitan HFMD terutama kepada anak-anak kita.

Mengenali Penyakit HFMD

HFMD merupakan satu penyakit bawaan virus yang biasanya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, walaupun ada kalanya ia boleh menjangkiti kanak-kanak yang lebih besar dan orang dewasa. Kanak-kanak bawah 5 tahun lebih berpotensi dijangkiti penyakit ini kerana tubuh badan mereka masih belum mempunyai sistem pertahanan badan yang matang.

Secara umumnya, penyakit HFMD tidak mendatangkan bahaya kepada yang dijangkiti dan majoriti pesakit hanya perlu berehat di rumah dan akan sembuh selepas 7-10 hari.

Namun, bagi kanak-kanak kecil, jika dijangkiti, ibu bapa perlu memerhatikan dengan teliti keadaan anak. Malaysia menerima berita sedih apabila seorang kanak-kanak berumur 2 tahun disahkan maut kerana penyakit HFMD. Jika ibu bapa melihat anak-anak menjadi lemah dan tiada selera makan, jangan tangguh untuk kejarkan anak berjumpa dengan doktor, anak itu mungkin perlu bantuan dan rawatan rapi.

HFMD Di Malaysia

Status dan kes-kes HFMD di Malaysia sentiasa dipantau dan diberi kemaskini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Setakat 28 Julai 2018, KKM telah merekodkan 37,986 kes HFMD di seluruh Malaysia yang menyebabkan 539 premis tadika dan pra-sekolah diarahkan ditutup.

Terkini HFMD. Total 37,986 kes, 1,093 kes wabak, 539 premis ditutup tadika, pra sekolah, sekolah dan kelas9 sekolah…

Posted by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA on Jumaat, 27 Julai 2018

Cara Mengelakkan Jangkitan HFMD Kepada Anak-anak

Bagi mengelakkan jangkitan HFMD kepada anak-anak, berikut merupakan beberapa langkah yang perlu diambil ibu bapa berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pengalaman ibu bapa:-

1. Elakkan Membawa Anak ke Tempat-tempat Tumpuan Ramai

Ketika virus ini sedang berleluasa, elakkan untuk membawa anak-anak ke tempat tumpuan ramai jika tiada keperluan. Antara tempat-tempat yang berkemungkinan besar dicemari dengan virus HFMD adalah taman permainan awam, ruang permainan di pusat membeli belah, ruangan-ruangan tempat duduk awam dan pelbagai lagi.

Biarlah ibu bapa dikatakan terlebih melindungi anak dan kelihatan sedikit paranoid akibat menghalang anak-anak keluar seketika, daripada anak-anak menangung kesakitan dan tidak selesa badan dijangkiti HFMD.

2. Kerap Membersihkan Tangan Anak-anak di Tempat Awam

Jika terpaksa juga untuk keluar ke tempat awam, pastikan menjadi rutin agar tangan anak-anak lebih kerap dibersihkan. Basuh tangan anak-anak dengan air dan sabun selama sekurang-kurangnya 10 saat sebelum dibilas.

Bagi ibu bapa yang merasakan sukar untuk kerap ke tandas bersama anak-anak, boleh juga untuk membawa hand sanitizer di dalam beg atau poket anda. Selepas anak-anak memegang tempat-tempat awam, gunakan hand sanitizer ini pada tangan anak-anak. Hand sanitizer ini biasanya mudah didapati di kebanyakan farmasi.

3. Cuci Tempat Duduk Awam Dengan Anti-Bacterial Wipes

Jika anda terpaksa makan di luar, atau sekadar duduk di kawasan awam bersama anak kecil, jadikan kebiasaan untuk mengelap sedikit kawasan-kawasan yang berpotensi dipegang anak menggunakan anti-bacterial wipes. Antara kawasan yang berpotensi mempunyai virus ini adalah di kerusi bayi, meja makan dan kerusi awam.

4. Tidak Menghantar Anak-anak ke Taska yang Dilaporkan ada kes HFMD

Sentiasa dapatkan maklumat terkini status kesihatan anak-anak jagaan di nurseri anak anda. Di sini, walaupun nampak anda seperti menjaga tepi kain orang lain, tetapi, sebagai ibu bapa bertanggungjawab, anda perlu melakukannya dan tidak mempedulikan kata-kata orang. Jika terdapat simptom-simptom jangkitan sahaja pada anak jagaan nurseri, terus elakkan menghantar anak anda ke nurseri yang sama buat seminggu dua sehingga mendapat pengesahan daripada pengusaha nurseri bahawa tiada jangkitan lagi.

5. Kerap Membersihkan Mainan Anak-anak

Walaupun di rumah sendiri, jadikan kebiasaan untuk lebih kerap membersihkan mainan dan alatan yang digunakan anak-anak. Kadang-kadang, virus ini mungkin sahaja boleh disebarkan oleh tetamu yang datang menziarahi. Lebih baik berjaga-jaga daripada menanggung kesannya.

Kesimpulan

Penyakit HFMD setakat hari ini masih tidak mempunyai vaksin. Walaupun secara umumnya penyakit ini tidak berbahaya, tetapi, untuk kanak-kanak yang dijangkiti, ianya boleh mempengaruhi selera makan dan keselesaan mereka akibat ruam dan ‘blisters’ yang sangat gatal di kaki, tangan dan dalam mulut mereka.

Ibu bapa perlulah mengetahui cara mengelakkan jangkitan HFMD kepada anak-anak agar kita tidak menjadi ibu bapa yang terpaksa melihat anak kita terseksa akibat penyakit ini.

Muhammad Huzaifah
Muhammad Huzaifah merupakan seorang graduan Bioteknologi dengan pengkhususan Kejuruteraan Protein daripada Imperial College London, United Kingdom. Beliau kini bekerja di Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *