Batuk Kokol atau Pertussis

Mengenai Batuk Kokol atau Pertussis

Batuk kokol adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria pertussis (Bordetella pertusis). Bakteria ini akan menjangkiti kerongkong dan saluran pernafasan. Akibatnya adalah batuk yang teruk, kerap muntah dan keadaan ini mungkin berlarutan sehingga 3 bulan. Masyarakat melayu satu ketika dahulu menamakan jangkitan bakteria pertussis (batuk kokol atau pertussis) ini sebagai Batuk Kokol Seratus Hari.

Simptom Jangkitan Pertussis

Sifat dan bunyi batuk kanak-kanak itu yang menyebabkan nama batuk kokol (whooping cough) dipilih. Anak-anak yang dijangkiti bakteria bahaya itu akan mengalami batuk yang teruk serta berpanjangan. Batuk yang menyeksakan itu boleh berlaku hingga beberapa minggu dan bulan. Secara klasiknya batuk itu dikenali sebagai batuk seratus hari, kerana kanak-kanak akan batuk sehingga mencecah seratus hari lamanya.[1] Hasil dari jangkitan kuman tersebut yang menyerang rongga pernafasan dan paru-paru, si pengidap akan keletihan serta tercungap-cungap untuk menarik nafas. Amat menyeksakan jika kita melihat sendiri tanda-tanda yang kanak-kanak itu alami.

Akhirnya, jika tidak dirawat, kematian boleh menjemput. Kematian akibat daripada penyakit ini kerap berlaku di kalangan bayi berumur di bawah 6 bulan. Komplikasi pertussis yang teruk adalah sawan tarik, pendarahan dalam mata, kerosakan atau radang paru-paru dan kerosakan atau radang selaput otak (meningitis). Pertubuhan Kesihatan Sedunia melapurkan kes kematian akibat serangan bakteria batu kokol ini mencecah 200,000 hingga 300,000 setiap tahun.

Batuk Kokol atau Pertussis: Jangan Ambil Mudah

Adalah dianggarkan kes batuk kokol ini melibatkan 20 juta kes seluruh dunia. Menyedihkan juga kerana 90% dari kes tersebut adalah berlaku di negara-negara yang sedang membangun. Sistem kesihatan negara-negara berkenaan masih lagi diperingkat minima dan liputan pemberian vaksin juga tidak memberangsangkan.

Malaysia juga tidak terlepas dari kejadian batuk kokol ini. Data yang diperolehi dari statistik WHO mendapati kebanyakan negara-negara yang mempunyai liputan vaksin DPT yang rendah, kes Batuk Kokol meningkat. Jika dilihat kes bermula tahun 2013 hingga 2017, peningkatan kes berkali ganda.[2] Peningkatan ini setimbal dengan gerakan penolakan vaksin disebahagian masyarakat. Penolakan vaksin juga sejak dari tahun 2013 hingga sekarang, meningkat berkali ganda. Alasan yang sudah pun diberi jawapan tuntas oleh para pakar dan ahli agama mereka ketepikan. Mungkin terdapat agenda tertentu yang mereka perjuangkan dan mereka lebih mementingkan diri sendiri dari kemerbahayaan yang boleh melemahkan ummat.

batuk kokol atau pertussis

Cara Mengelak Jangkitan Pertussis

Pertussis boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi. Ia diberi kepada kanak-kanak pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Apabila seseorang kanak-kanak telah mendapat pelalian pertussis yang lengkap dijangkiti kuman ini, mereka hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi. Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95% pada setiap masa.

Liputan imunisasi yang tinggi ini dapat memberikan perlindungan kepada komuniti melalui kesan imuniti kelompok (herd immunity). Justeru, ibu bapa bertanggung jawab memastikan anak-anak mereka mendapat pelalian pertussis yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan. Perkhidmatan imunisasi bagi kanak-kanak ini boleh diperolehi di fasiliti kesihatan Kerajaan dan swasta.[3]

Remaja dan orang dewasa yang bergejala perlu sentiasa mengamalkan adab batuk dan bersin (menutup mulut) serta mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain. Mereka yang bergejala juga dinasihatkan supaya tidak mencium bayi kerana bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis. Segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala pertussis.

Pautan:
[1] Pertussis/Whooping Cough. MyHealth Portal.http://www.myhealth.gov.my/en/pertussis-whooping-cough/
[2] Pertussis Outbreak Trends.https://www.cdc.gov/pertussis/outbreaks/trends.html
[3] Kenyataan Akbar KPK. https://kpkesihatan.com/…/kenyataan-akhbar-kpk-5-ogos-2017…/

Apa Ibu Bapa Perlu Lakukan Jika Anak Dijangkiti HFMD?

jika anak dijangkiti hfmd

Dalam artikel yang lalu, kami pernah berkongsikan cara-cara mencegah anak daripada dijangkiti HFMD. Namun, malang tidak berbau, timbul persoalan, bagaimana pula jika anak dijangkiti HFMD dan disahkan oleh pegawai perubatan?

Mengenali Tanda-tanda Jangkitan HFMD

Virus HFMD sebenarnya virus yang tidak membawa maut. Kes-kes yang membawa kematian adalah kes terpencil apabila berlaku wabak yang besar. Itupun kematian bukan akibat dari virus itu secara langsung, tetapi ianya adalah komplikasi teruk jika mangsa tidak dirawat sebaik mungkin.

Terdapat dua virus yang punca kepada HFMD; Coxsackie Virus dan Enterovirus. Virus ini boleh berada dipersekitaran dan biasanya menjangkiti kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. Oleh kerana sistem pertahanan badan kanak-kanak masih tidak kuat, virus ini boleh menyebabkan tanda-tanda terhadap mangsa. Antara tanda-tanda serangan virus itu adalah seperti:

i) Demam
ii) Kurang selera makan
iii) Lepuh dalam rongga mulut (ulcer) dan sakit kerongkong.
iv) Letih dan tidak bermaya.
v) Ruam bintik merah di tapak tangan, kaki dan mulut.

Bintik merah akan nampak makin jelas setelah hari kedua selepas demam jika anak dijangkiti HFMD. Ketika ini lah ibubapa penjaga kanak-kanak mula panik dan mencapai pelbagai rawatan demi melihat anak mereka sembuh segera. Jika maklumat yang tidak tepat mereka perolehi dari dunia maya, maka akan berhabis ribuan ringgit membeli produk-produk sampah.

Apa Ibu Bapa Perlu Lakukan Jika Anak Dijangkiti HFMD?

1.  Jangan benarkan anak anda dipeluk cium sembarangan. Walaupun arahan ini agak zalim bagi saudara mara yang hadir menziarahi anda. Namun tempoh penting ini patut diambil serius supaya virus tidak merebak.

2. Didik diri dan keluarga supaya menjaga kebersihan persekitaran, rumah dan semua perkakas yang terdedah. Virus HFMD boleh sahaja bertenggek di mana-mana sahaja dalam persekitaran dalam tempoh tertentu. Dengan menjaga kebersihan diri, amalan membasuh tangan dengan sempurna dan menggunakan pelekap muka jika perlu terlalulah amat berguna pada masa ini.

Semburan dari produk tertentu tidak membantu, kerana permukaan yang kering dan bersih amat diperlukan bagi menghalang virus berjangkit. Penggunaan antiseptik boleh digunakan pada ketika memegang anak anda atau sebelum/selepas menyentuh perkakasan rumah.

3. Tahan diri anda dan anak-anak untuk bersiar-siar ke tempat yang ramai orang seperti pasar raya, pasar malam dan seumpamanya. Ditempat sebegini pelbagai jenis manusia wujud dengan pelbagai kuman hinggap bukan semata-mata virus HFMD. Jika terdesak sangat untuk membeli belah barang keperluan, serahkan kepada ketua keluarga untuk membeli. Tidak perlulah kesemua anak-anak kita yang masih kecil berasak-asak memenuhkan pasaraya. Virus HFMD senang merebak apabila orang yang dijangkiti atau pembawa virus itu batuk, bersin, bernafas depan muka dan bersentuhan dengan kita.

iv) Dapatkan rawatan segera untuk kurangkan demam anak anda. Pastikan alat pengukur suhu di simpan dalam rumah. Senantiasalah periksa sendiri suhu anak anda. Jika demam tinggi melebihi 38 C atau demam berlarutan melebihi lima hari, sila jumpa segera doktor anda.

Pastikan anak anda minum air secukupnya, makan mengikut jizi yang sepadan. Jika kelihatan tidak bermaya atau kelakuan/perangai anak lain macam, sila ke hospital segera. Senantiasalah bersama anak anda dalam tempoh tersebut, jangan asyik bermain wasap dan leka dengan facebook.