Tanda Anak Lewat Perkembangan

Dalam membesarkan anak-anak, ibu bapa perlu peka serba serbi terhadap perkembangan anak-anak. Ini termasuk mengenalpasti tanda anak lewat perkembangan daripada awal lagi.

Tanda Anak lewat Perkembangan Boleh Dikenalpasti Seawal Anak Berumur 1 tahun

Seringkali apabila anak kita kelihatan ‘lewat’ daripada anak-anak orang lain, ibu bapa memandang ringan dan sering berkata “tak mengapa, nanti pandailah dia”. Benar, setiap anak adalah unik dan perkembangan kanak-kanak berbeza antara satu sama lain, namun, ibu bapa perlu tahu tanda anak lewat perkembangan daripada kadar normal yang ditetapkan pakar kanak-kanak.

Berikut merupakan tanda anak lewat perkembangan yang boleh diperhatikan apabila anak sudah berumur 1 tahun.

  • tidak keluarkan bunyi 
  • bercakap lewat 
  • tidak atau kurang merangkak 
  • belum berjalan 
  • kurang pandai bermain bersama orang 
  • kurang bermain jenis-jenis permainan yang berlainan variasi 
  • terlalu aktif dan tidak boleh ikut arahan mudah

Jika Anak Anda Ada Tanda Di Atas, Jangan Bertangguh

Selalu yang berlaku, ibu bapa cuba untuk mengatakan bahawa anak-anak kita adalah normal seperti anak-anak orang lain walaupun sudah perasan tanda-tanda di atas.

TIADA SILAPNYA MENGAKUI ANAK KITA LAMBAT PERKEMBANGAN.

Ini tidak bermakna anak kita kurang cerdik, ini tidak bermakna anak kita bermasalah, ini hanya bermaksud anak kita memerlukan BANTUAN!

Apabila kita menunggu ke saat akhir seperti adegan ini:

Anak umur 2 tahun: hanya menunggu dan lihat

Anak umur 3 tahun: tunggu lagi takut-takut anak boleh buat surprise bercakap seperti anak lain

Anak umur 4 tahun: hurm. Tunggu lagi dan mula mencari

Anak umur 5 tahun: ke hospital/klinik utk berjumpa doktor dan berjumpa terapis berkaitan 

Anak umur 6 tahun: panik, mula berfikir sekolah mana yang sesuai? Anak banyak nak catch up lagi

Inilah yang banyak berlaku.

tanda anak lewat perkembangan

Mengapa Tunggu Wahai Ibu Bapa?

Nasihat saya, untuk bakal ibu bapa/ ibu bapa muda yg ada anak-anak yg baru lahir, belajarlah positive parenting skills yang memberi kesan kepada perkembangan bahasa dan komunikasi anak dari awal – 
orang putih kata “Prevention is better than cure.”

Jika anak ada ciri-ciri kelewatan yang kita nampak seawal umur 1 tahun dan ke bawah, bertindak cepat! Tidak perlu untuk tunggu lagi!

Cuba bayangkan, jika ibu bapa mula bertindak dari umur 1 tahun, bukankah ianya lebih memberi peluang utk anak catch up?

Dan buang stigma bahawa anak-anak yang perlukan rangsangan dan pergi terapi adalah anak “istimewa”,  kerana mereka mungkin hanya mengalami kelewatan perkembangan sahaja tanpa mempunyai apa-apa diagnosis.

Tak perlu takut mendapatkan perkhidmatan dari clinical psychologist, audiologis, terapis dan sebagainya. Tidak salah pun jika berjumpa awal.

Melatih Anak Potty Training

melatih anak potty training

Apabila anak mencecah umur 2 tahun (ketika mereka sudah boleh memahami arahan mudah serta boleh berdialog ringkas yang difahami ibu bapa, tibalah masa mendebarkan ibu bapa, masa melatih anak potty training. Ada kalanya waktu ini begitu meletihkan ibu bapa, namun, ianya perlu dilalui bagi membentuk anak yang berdikari.

Berikut kami ringkaskan beberapa tips persediaan melatih anak potty training.

Fasa Persediaan Melatih Anak Potty Training (Umur Anak 2 Tahun ke Atas)

1. Modelling: tunjukkan kepada anak bila kita sendiri rasa nak ke tandas, beritahu anak yang ibu atau ayah ingin ke tandas untuk membuang air kecil atau besar. Tunjukkan ekspresi apabila kita rasa nak membuang air (ekspresi tidak tahan, sakit perut dan lain-lain yang sesuai)

2. Penceritaan: gunakan buku cerita tentang potty training. Ibu bapa juga boleh tunjukkan video-video karakter animasi atau bayi lain yang sedang potty training di Youtube.

3. Encouragement: Sentiasa komunikasi kepada anak bahawa mereka sudah cukup besar dan budak  besar dah tak pakai lampin. Sambil itu, ibu bapa perlulah mengajak anak untuk menggunakan potty.

4. Belikan seluar dalam yang menarik minat anak. Contohnya, jika anak minat kartun Upin dan Ipin, bolehlah carikan seluar dalam dengan kartun Upin Ipin bagi membuatkan anak gembira memakai seluar dalam.

5. Sebelum benar-benar melakukan potty training, ibu bapa perlulah mempunyai cukup data melalui pemerhatian tentang kekerapan serta waktu anak membuang air kecil dan besar.

Fasa Latihan

1. Perkara paling utama yang ibu bapa perlu ingat, aktiviti potty training ini mesti konsisten! Jika ibu bapa dan anak sudah bersedia untuk melakukan potty training, patuhi jadual yang kita tetapkan supaya anak pun tidaklah keliru.

2. Tentukan hari untuk latihan menggunakan tandas ini, seelok-eloknya 3-5 hari berturut-turut. Di sini perlu ditekankan bahawa bilangan hari utk anak faham bergantung kepada tahap penerimaan, kefahaman bahasa dan kemahiran anak. Fahami dulu tahap dan sikap anak anda.

3. Melalui permerhatian kekerapan dan masa anak, tentukan masa untuk anak ke tandas. Ada kanak -kanak yang mengambil masa selang 15 min, ada selang 30 minit, ada selang 1 jam. Jadual badan anak ini perlu ibu bapa ambil tahu dan fahami bagi membantu ibu bapa merancang jadual yang terbaik.

4) Apabila tiba masannya untuk ke tandas, berinteraksilah dengan anak. Beritahu anak bahawa kita nak ke tandas untuk membuang air. Sekarang dah tiba masanya untuk buang air kan? Lihat reaksi anak samada anak sudah memahami atau tidak.

5. Ulangi proses ini berulang-ulang kali. Ini termasuklah aktiviti masuk tandas, buka seluar, duduk di potty, membuang, basuh, flush, basuh tangan, pakai seluar. Ada kalanya anak-anak tidak membuang air pun tetapi teruskan konsisten melakukan perkara sebegini supaya anak tahu apa yang mereka perlu lakukan. Pastikan langkah-langkah ini diulang tanpa mengubah susunan perkara yang perlu dilakukan supaya anak-anak tidak keliru.

Fasa Pengukuhan

Walaupun anak faham, tetapi ada kalanya mereka tetap akan terbuang air kecil dalam seluar kerana beberapa faktor:-

1.  Belum betul-betul faham perasaan nak terbuang air. Di sini, perlu perbanyakkan lagi ekspresi ibu bapa melalui modelling supaya anak faham perasaan ingin buang air.

2. Ada anak yang terlalu suka bermain sehingga menahan daripada pergi ke tandas. Akhirnya, apabila tidak mampu ditahan lagi, itulah yang terlepas di dalam seluar. Untuk anak-anak sebegini, kita perlu ingatkan bahawa waktu ke tandas adalah lebih penting dan dia boleh bermain selepas ke tandas.

3. Kurangnya bantuan ibu bapa pada fasa awal potty training anak. Sebaiknya, pada fasa awal latihan, apabila kita nampak gaya badan anak macam nak membuang (contohnya kaki rapat macam menahan kencing atau cubaan meneran), terus bawa anak ke tandas.

4. Apabila anak-anak berjaya untuk melakukan potty training, puji mereka dan berikan galakan untuk terus lakukan perkara yang baik. Cuba untuk tidak terus memarahi jika mereka gagal sesekali, takut-takut mereka akan terus berputus asa kerana terlalu takut dimarahi.

Kesimpulan

Tidak dinafikan, melatih anak potty training adalah fasa yang meletihkan bukan sahaja ibu dan bapa, malah anak kecil itu sendiri. Kesabaran ibu bapa amat penting bagi memastikan potty training anak anda berjaya.

Kesalahan Interaksi Dengan Kanak-Kanak

kesalahan interaksi dengan kanak-kanak

Ketika anak sudah mula mampu memberikan reaksi seawal umur 2-3 bulan, itulah masa yang sangat dirindui para ibu bapa. Menjelang anak mula mengeluarkan perkataan pertama seawal umur 12 bulan, ibu bapa sudah perlu untuk berinteraksi dengan anak dengan lebih kerap. Namun, tahukah anda, terdapat beberapa kesalahan interaksi dengan kanak-kanak yang kerap ibu bapa lakukan?

Kesalahan Interaksi Dengan Kanak-kanak

Setakat ini, melalui pemerhatian saya kepada interaksi antara ibu bapa dan anak, terdapat satu perkara yang hampir semua ibu bapa amalkan. Mungkin ini adalah pengaruh budaya di Asia yang dibesarkan dalam budaya mementingkan akademik dari usia kecil serta budaya pentaksiran melalui peperiksaan.

Apakah kesalahan interaksi dengan kanak-kanak tersebut?

1. Bertanya TERLALU BANYAK soalan kepada anak tersebut.

Malah, soalan yang diajukan itu juga seolah-olah ingin menguji keupayaan anak. (sounds familiar?)

Contoh:

  • Tengok ni ada berapa buah? Cuba kira? Berapa?
  • Warna apa ni dik?
  • Huruf apa ni? Nombor apa?
  • Apa ni?

Anak: krik krik

Akhirnya, mak dan ayah yang menjawab soalan sendiri.

2. Memberi Arahan yang Terlalu Berstruktur Semasa Bermain

Contohnya:

  • Buat macam ni, masuk dalam ni, 
  • Ambil tu, letak sini, yang ni dulu.

Tetapi, tanpa disedari, soalan-soalan beginilah yang menyebabkan anak-anak semakin menjauhi kita ketika bermain.

Mari kita cuba letakkan diri kita dari kaca mata anak-anak.

Katakanlah isteri atau suami kita asyik bertanya soalan yang spesifik, atau sesuatu arahan yang tidak difahami, kita pula tidah tahu jawapannya, sebaliknya yang bertanya bertalu-talu memberikan soalan atau arahan, apakah perasaan kita?

Rimas? Marah? Tertekan? Rasa mahu larikan diri jauh-jauh?

Oleh sebab ini bukanlah suatu interaksi yang efektif, kita cenderung untuk menjauhkan diri daripada komunikasi sebegini. Begitulah juga dengan anak-anak kecil.

Apa yang Ibu Bapa Perlu Lakukan?

Ibu bapa perlulah menjadi pendengar dan pemerhati yang baik. Tunggu dan ikut rentak anak. Bukannya mengharap anak mengikut rentak kita.

Aktiviti Bersama Anak Kecil: Tips Untuk Ibu Bapa

aktiviti bersama anak kecil

Kami sering ditanya tentang tips melakukan aktiviti bersama anak kecil, sejak lahir oleh ibu bapa. Di sini kami kongsikan beberapa aktiviti dan tips bagi meningkatkan interaksi ibu bapa bersama anak dan seterusnya membantu perkembangan sosial, emosi dan bahasa komunikasi anak

Gunakan Aktiviti Harian untuk Tingkatkan Hubungan Ibu-Anak atau Ayah-Anak

Kadang-kadang, ibu bapa terlalu memikirkan aktiviti-aktiviti khusus atau istimewa untuk mengisi masa anak. Tetapi, tahukah anda, sebagai anak-anak, mereka sudah cukup rasa ouas hati apabila dapat meluangkan masa bersama ibu bapa melakukan aktiviti-aktiviti rutin sahaja.

Contoh waktu-waktu tersebut adalah :

  • waktu feeding (makan dan minum)
  • mandi
  • pakai lampin
  • pakai baju
  • mainan sosial
  • nyanyian dan alunan zikir
  • berkongsi buku
  • bermain alat mainan
  • aktiviti luar, beriadah dan sight seeing (umur 5-6 bulan ke atas)

Sebenarnya, senarai di atas adalah antara aktiviti harian yang biasa ibu bapa lakukan bersama anak. Sekiranya ibu bapa bijak untuk mengambil kesempatan, waktu-waktu aktiviti rutin ini boleh digunakan untuk menjalankan aktiviti bersama anak kecil di samping menjadikan mereka terisi dan gembira.

Tips Menjalankan Aktiviti Bersama Anak Kecil

1. Bercakap bersama anak, terangkan kepada anak apa yang anda sedang lakukan dalam rutin harian bersama anak. 

Sebagai contoh, jika sedang memakaikan baju untuk anak berumur 0- 12 bulan, ibu bapa boleh berkomunikasi dengan anak seperti berikut:

“sekarang tengah pakai baju, bismillah, masuk kepala, cak, masuk tangan kanan masuk tangan kiri , dah siap.”

2. Guna nada yang menyeronokkan ataupun alunan lagu di samping bunyi-bunyi yang menyeronokkan.

Sebagai contoh, main agah bayi dengan bunyi-bunyi berikut:
Bunyi suku kata “bbbaaamm baammm mmmaaanmmaaa”
Bunyi bermakna: “vrrooomm, moo, meow, chipchip”
Bunyi yang ada menunjukkan perasaan: “weeee… wow…. woooooo…”

3. Berkomunikasi Disertakan ‘Gestures’: Sambil Kita Bercakap, Tunjukkanlah Gestures/gaya/cara/ expression Supaya Anak Lebih Faham Apa Dimaksudkan

Untuk memahami sesuatu perkataan kita perlu kaitkan dengan visual (dgn menunjuk sesuatu), contohnya:

Jika saya ingin ajar satu perkataan daripada bahasa alien saya (rekaan): ‘jukait’

Kalau kita mendengar secara lisan (verbal) sahaja, sampai ke sudah kita tidak akan faham ‘jukait’ tu apa.

Tapi bila saya tunjukkan jukait=🚗

Anda akan faham owwwh ‘jukait’ itu bermaksud kereta.

Jadi, jika saya cakap saya naik jukait, anda akan tahu maksud saya adalah saya naik kereta.

4. Tunggu: Tunggu Sebentar Sehingga 5-10 Saat Supaya Interaksi Kita Dengan Anak Menjadi Dua Hala

Perkara yang paling utama, elakkan supaya ibu bapa yang dominate interaksi tersebut. Sebaliknya, selepas ibu bapa berkata sesuatu, tunggu sehingga 10 saat bagi anak kecil itu bertindak balas.

Contoh:

Ibu: “mmmmmaaaaaaaaa maaaaa”

Anak.: senyum… gelak dan hasilkan bunyi mmmmmm

Lepas tu barulah kembali giliran ibu: senyum dan ulang lagi.

5. Kekerapan Aktiviti dan Teknik yang dilakukan Bersama Anak Akan Memberi Impak yang Besar kepada Perkembangan Anak.

Renungan

Daripada senarai aktiviti cadangan di atas, berapa banyak aktiviti yang ibu bapa sendiri lakukan bersama anak-anak? Adakah ibu bapa sekadar berharap agar pengasuh yang melakukannya? Adakah ibu bapa menggunakan masa-masa sebegini sebaiknya, atau ianya sekadar rutin yang ingin ditamatkan dengan cepat?